Kasih Iris Leona. Foto Instagram Azhar Sulaiman.

KUALA LUMPUR – Pelakon senior, Azhar Sulaiman mengakui  tidak kisah sekiranya anak perempuannya, Kasih Iris Leona ditakdirkan hidup bermadu suatu hari nanti.

Aktor berusia 52 tahun itu sedar terdapat segelintir pihak mengatakan anaknya yang mesra disapa sebagai Leona bakal menjadi isteri kedua mahu pun ketiga.

Namun pemilik nama Hairi Azhar Sulaiman tidak mudah melatah apabila netizen mengaitkan anak perempuannya sebagai ‘madu’ kepada orang lain asalkan lelaki berkenaan sepadan dengan syarat ditetapkan.

Menerusi hantaran dibuat di laman Instagram miliknya, Azhar menyenaraikan beberapa syarat buat bakal suami Leona sekiranya mahu menyunting anaknya sebagai suri hati.

Azhar mengatakan dia seorang yang sangat mudah dan terbuka menerima sesiapa sahaja menjadi calon suami anaknya asalkan memiliki latar belakang pendidikan yang kukuh.

“Resmi Mami (Azhar) senang. Terima sesiapa sahaja asalkan ada degree dalam pelajaran,” tulisnya.

Selain itu, Azhar menegaskan, calon suaminya anaknya itu mestilah pandai hormat dan menjaga maruah keluarga sekiranya lelaki berkenaan sudah pun berkahwin dengan wanita lain sebelum anaknya.

Malah Azhar yang terkenal dengan gelaran ‘bapa cool’ itu mengatakan mereka haruslah menjaga nama baik tanpa mencanang segala keburukan sehingga diketahui satu Malaysia memandangkan Leona juga seorang pempengaruh media sosial.

“Pastikan hormat dan jaga maruah anak saya, keluarga kalau calon sudah berkahwin. Bijak menguruskan hubungan dan jangan sampai kecoh satu Malaysia,” tulisnya.

Sementara itu, Azhar akur dengan segala ketentuan takdir yang ditetapkan oleh Allah mengenai urusan jodoh Leona.

Sementara itu, pelakon filem Black Maria itu mendedahkan Leona suka akan lelaki berbangsa Cina. – MalaysiaGazette