mahkamah peguam
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hadir ke mahkamah bagi mendengar permohonan rayuan menyemak sabitan dan hukuman penjara selama 12 tahun serta denda kerana menyeleweng dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta di Mahkamah Rayuan Istana Kehakiman, Putrajaya. Foto HAZROL ZAINAL, 19 JANUARI 2023.

KUALA LUMPUR – Pekeliling yang menyatakan bahawa mahkamah tidak mempunyai kuasa untuk memaksa seorang peguam meneruskan kes yang dikendalikannya jika beliau tidak mahu berbuat demikian masih lagi berkuat kuasa.

Pentadbir laman Facebook Najib Razak berkata, arahan itu dinyatakan melalui Pekeliling Pendaftar Bilangan 6 Tahun 1960 – Penarikan Diri Peguam yang boleh diakses melalui sistem intranet Jabatan Kehakiman.

Menurut beliau, ia bermakna mahkamah tidak boleh menghalang peguam daripada menarik diri dalam sesuatu kes yang diwakilinya.

“Ini bertentangan dengan apa yang telah berlaku dalam kes bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak apabila mahkamah telah menghalang peguam beliau dari menarik diri malah terus memaksa peguam untuk kekal duduk di bangku dengan tidak melakukan apa-apa sementara pihak pendakwaan mengemukakan hujah.

“Peguam Najib percaya bahawa ini akhirnya mengakibatkan hak asasi manusia dan hak perlembagaan Najib dicabul apabila dia dihantar terus ke penjara tanpa diwakili dalam perundangan,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.

pekeliling
Salinan Pekeliling Pendaftar Bilangan 6 Tahun 1960 – Penarikan Diri Peguam. (Sumber: Intranet Jabatan Kehakiman)

Pekeling tersebut dikemukakan oleh peguam Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dalam prosiding semakan semula kes SRC International di Mahkamah Persekutuan, semalam.

Mahkamah Persekutuan pada 18 Ogos lalu membuat ketetapan menolak permohonan peguam, Hisyam Teh Poh Teik yang mahu menarik diri dari mewakili Najib dalam rayuan akhir kes SRC International.

Lima panel hakim yang diketuai oleh Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat dalam nada tegas ketika membacakan penghakimannya berkata, permohonan Hisyam tidak dapat diterima sebaliknya beliau kekal sebagai peguam mewakili Najib.

Pentadbir Facebook Najib Razak memberitahu, peraturan mahkamah sendiri secara jelas melarang para hakim daripada memaksa seorang peguam untuk meneruskan kes apabila mereka sudah menyatakan tidak mahu berbuat demikian.

“Sebab itulah kita tidak pernah mendengar waima satu kes pun di dunia ini bila mana seorang peguam tidak dibenarkan menarik diri mereka sebelum ini,” jelasnya. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Hakim2 dulu hebat…berani & telus…Mahathir pun dia lawan mcm Tun Salleh Abas…Hakim sekarang cari makan…lagi pun sah2 Medey & Tommy Thomas yg pilih..bukan Suruhanjaya Perlantikan Hakim pun..memalu kan sungguh hakim2 ni terutama Ketua Hakim

Comments are closed.