KUALA LUMPUR – Seorang lelaki yang juga merupakan orang kena tahan (OKT) meninggal dunia semasa dalam tahanan lokap di Balai Polis Baling pada Rabu lalu.
Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Shamsudin Mamat berkata, lelaki tersebut disahkan meninggal dunia pada pukul 10.22 malam.
Beliau berkata, OKT telah dibawa dari Penjara Alor Setar pada 17 Januari lalu untuk menghadiri sebutan kes Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 15(1)(a) akta yang sama di Mahkamah Majistret Baling yang dijadualkan pada 18 Januari lalu.
“OKT telah ditumpangkan di lokap Balai Polis Baling sementara menunggu tarikh sebutan kes. Pada Rabu lalu, OKT kemudian ditempatkan semula di lokap balai polis berkenaan selepas menghadiri sebutan kes di mahkamah berkenaan dan dijadualkan untuk dihantar semula ke Penjara Alor Setar pada 19 Januari lalu iaitu semalam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Jelas Shamsudin, pada pukul 9.40 malam Rabu lalu, OKT telah mengalami sesak nafas dan sawan dan polis segera menghubungi Hospital Baling.
Beliau berkata, pegawai perubatan hospital kemudian hadir ke lokap untuk memberi rawatan kepada OKT namun disahkan meninggal dunia.
“Bedah siasat yang dijalankan semalam di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar mendapati punca kematian disebabkan saluran darah jantung tersumbat,” katanya.
Shamsudin berkata, setakat ini, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
Unit Siasatan Jenayah dan Kematian Dalam Tahanan (USJKT), Jabatan Intergriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman akan meneruskan siasatan dari pelbagai sudut sebelum menyerahkan hasil siasatan kepada koroner, katanya. – MalaysiaGazette