Adnan Mat

KUALA LUMPUR – Pengecualian cukai atas pemberian bonus atau bantuan khas kewangan kepada kakitangan awam di semua negeri tidak menjejaskan hasil atau sasaran kutipan cukai kerajaan.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Datuk Adnan Mat berkata, pertimbangan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam melaksanakan pengecualian itu adalah munasabah dan amat memahami soal kebajikan warga penjawat awam.

“Kebanyakan jumlah bonus diterima penjawat awam negeri termasuk di peringkat Persekutuan tidaklah tinggi iaitu purata sekitar RM700 sehingga RM2,000 setiap seorang, sekiranya jumlah tersebut dikecualikan daripada cukai pendapatan, ia tidak menjejaskan hasil atau sasaran kutipan cukai oleh kerajaan.

“Bahkan Cuepacs sendiri difahamkan bahawa kutipan cukai yang berjaya dikutip oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri berjaya melebihi sasaran ditetapkan pada 2022,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Adnan berkata bonus pemberian kerajaan negeri kepada penjawat awam juga bersifat bantuan khas sebagai penghargaan serta meringankan beban kewangan ditanggung penjawat awam dan ada kerajaan negeri yang membuat bayaran secara berperingkat mengikut fasa iaitu tidak berbentuk sekali gus.

Justeru, beliau berkata pemberian bonus itu tidak wajar dikenakan cukai pendapatan memandangkan nilainya tidak begitu tinggi dan bersifat membantu warga penjawat awam.

Terdahulu, Anwar mengumumkan pemberian bonus kepada penjawat awam di semua negeri dikecualikan cukai atas pertimbangan bahawa bonus kepada golongan itu tidak tinggi dan tidak wajar dikenakan cukai. – BERNAMA