Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan dan Operasi) JPJ, Aedy Fadly Ramli mengagihkan beg cenderahati kepada orang ramai ketika Ops Bersepadu dan Kempen Advokasi Keselamatan Jalan Raya sempena Perayaan Tahun Baharu Cina 2023 di Terminal Bersepadu Selatan (TBS), Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 20 JANUARI 2023.

KUALA LUMPUR – Tiada sekatan jalan raya akan dilaksanakan dalam Ops Bersepadu Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sempena Tahun Baharu Cina bermula 18 hingga 28 Januari ini.

Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan dan Operasi) JPJ, Aedy Fadly Ramli berkata, keputusan itu diambil bagi memastikan kelancaran trafik sepanjang musim perayaan itu.

Namun menurut beliau, seramai 2,000 anggota penguat kuasa JPJ akan dikerah bagi melakukan pemantauan dan rondaan di lokasi tumpuan sepanjang Op Bersepadu ini.

“Sebanyak 77 depoh dan 28 terminal bas utama di seluruh negara akan diperiksa dengan mensasarkan pemeriksaan teknikal bas ekspres dan pemandu termasuk saringan urin bagi memastikan pemandu bebas dadah.

“Kita juga akan melaksanakan rondaan berkala sepanjang operasi itu selain melakukan kaedah penyamaran bagi memastikan tiada pemandu bas melakukan kesalahan ketika memandu.

“Ini termasuk tujuh kesalahan utama seperti menggunakan telefon bimbit, memotong barisan, tidak mematuhi isyarat lampu merah, memotong di garisan berkembar, memandu melebihi had laju, tidak memakai tali pinggang atau topi keledar dan memandu di lorong kecemasan,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Op Bersepadu dan Kempen Advokasi Keselamatan Jalan Raya sempena Tahun Baharu Cina di Terminal Bas Bersepadu Selatan (TBS) hari ini.

Turut hadir Pengarah JPJ Kuala Lumpur, Mohd Zaki Ismail.

Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan dan Operasi) JPJ, Aedy Fadly Ramli bercakap kepada media selepas Ops Bersepadu dan Kempen Advokasi Keselamatan Jalan Raya sempena Perayaan Tahun Baharu Cina 2023 di Terminal Bersepadu Selatan (TBS), Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 20 JANUARI 2023.

Mengulas mengenai tindakan saman atau kompaun membabitkan tujuh kesalahan utama itu, Aedy Fadly berkata, pemandu akan dikenakan mata demerit di bawah Sistem Penalti Mata Demerit Kesalahan Jalan Raya (KEJARA) yang membolehkan lesen pemandu digantung atau dibatalkan.

Dalam Ops Bersepadu ini, perintah larangan pemanduan kenderaan barangan juga akan dilaksanakan pada dua hari sebelum dan dua hari selepas perayaan.

“Perintah larangan pemanduan kenderaan barangan akan dilaksanakan pada 20 hingga 21 Januari 2023 serta 24 dan 25 Januari.

“Larangan ini bertujuan untuk mengelak risiko berlakunya nahas jalan raya akibat percampuran aliran trafik antara kenderaan berat dengan kenderaan ringan atas jalan raya,” katanya.

Beliau berharap pengguna jalan raya juga dapat menjadi sebahagian daripada anggota penguatkuasa dengan melaporkan kesalahan lalu lintas sepanjang tempoh Op Bersepadu.

Orang ramai boleh menyalurkan aduan menerusi aplikasi MyJPJ melalui menu e-Aduan@jpj atau melalui aduan e mel JPJ di [email protected].. – MalaysiaGazette