KUALA LUMPUR – Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) menyambut baik inisiatif kerajaan untuk memperkenalkan Pelan Kelonggaran Penggajian Pekerja Asing dan Pelan Penentukuran Semula Pendatang Asing Tanpa Izin 2.0 untuk memenuhi keperluan tenaga kerja segera dalam sektor ekonomi.
Katanya kerajaan, yang memperkenalkan langkah melonggarkan peraturan pengambilan pekerja sehingga 31 Mac ini, menyedari kekurangan tenaga kerja yang mendesak dalam sektor/subsektor kritikal yang telah menjejaskan operasi dan pertumbuhan perniagaan dalam tempoh tidak menentu yang berpanjangan.
“Kami bersyukur kerana mekanisme permohonan untuk pengambilan kekal sama apabila majikan akan terus menggunakan Sistem Pengurusan Berpusat Pekerja Asing untuk proses menyeluruh sebelum permohonan dan pengeluaran Visa dengan Rujukan (VDR) oleh Jabatan Imigresen,” menurut FMM dalam kenyataan hari ini.
Melangkah ke hadapan, persekutuan itu berharap terdapat proses yang lebih lancar dari satu kementerian ke kementerian yang lain untuk meningkatkan kecekapan sistem dan mengurangkan masa yang diambil untuk melengkapkan proses pengambilan.
“Walaupun anggota digalakkan untuk mengambil peluang daripada langkah melonggarkan peraturan pengambilan pekerja dan Pelan Penentukuran Semula Pendatang Asing Tanpa Izin 2.0 berdasarkan keperluan dan kemampuan mereka, mereka turut diingatkan untuk memberi keutamaan kepada keselamatan, kesihatan dan kebajikan pekerja,” menurut FMM. – BERNAMA