MELAKA – Jadual padat persiapan menghadapi Liga Malaysia dan Piala AFC tidak menghalang Ketua Jurulatih Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee untuk pulang ke kampung halamannya bagi menyambut Tahun Baharu Cina (TBC) di Melaka.
Walaupun hanya mendapat cuti selama dua hari, ia cukup bermakna bagi untuk menyambut perayaan itu bersama keluarga dan ibu tercinta, Lee Wee Neo, 73, di Taman Pandan Indah, di sini.
Bekas pengendali pasukan Harimau Muda itu berlepas dari Sabah bersama isteri, Alodie Donna, 41, dan dua anaknya, Dasha Ong, 15, dan Dashi Ong, 13, semalam untuk menyambut Tahun Arnab secara sederhana.
“Seperti tahun lepas juga, saya hanya dapat balik ke kampung halaman selama dua hari dan selepas ini saya akan kembali ke Kota Kinabalu untuk bersama pasukan Sabah FC.
“Walaupun hanya dapat beraya dua atau pun tiga hari, tapi ini amat bermakna untuk kita bersama ahli keluarga termasuk sahabat handai yang saling menziarahi mengeratkan hubungan sempena perayaan Tahun Baharu Cina bersama,” katanya ketika ditemui di rumah ibunya di sini hari ini.
Menurut Kim Swee, selepas ini, beliau akan pulang ke Sabah untuk mengadakan beberapa sesi latihan sebelum terbang ke Bangkok, Thailand untuk beberapa siri perlawanan persahabatan di negara gajah perang itu. – MalaysiaGazette.