GEJALA kemurungan seperti hilang selera makan, berasa terbeban dengan diri sendiri, tertekan, berubah menjadi pendiam dan menyendirikan diri merupakan antara simptom gangguan mental. Kenyataan dari portal MyHealth Kementerian Kesihatan Malaysia, seseorang yang mempunyai mental sihat akan berasa selesa dengan dirinya, orang lain, juga persekitarannya dan mampu mendepani cabaran yang mendatang dalam kehidupannya. Hal ini menunjukkan bahawa seseorang itu dapat menjalani kehidupan normal dengan baik dan teratur. Pelbagai faktor penyumbang gangguan penyakit mental di ambang jangkitan COVID-19 ini, antara puncanya adalah kehilangan pekerjaan, kejatuhan ekonomi menyebabkan ramai penjual terjejas, sumber kewangan tidak mencukupi dan gagal memenuhi keperluan rumah merupakan tekanan yang dihadapi kebanyakan individu.
Keruncingan masalah mental dilihat semakin serius apabila berlaku peningkatan kes bunuh diri sebanyak 81 peratus pada tahun 2021 berbanding tahun sebelumnya berdasarkan laporan data daripada Polis Diraja Malaysia. Masalah mental semakin menjadi parah rentetan dari penularan wabak COVID-19 yang melibatkan ramai di antara mereka tidak dapat menangani masalah ini dengan baik akibat terlampau tertekan disebabkan pelbagai faktor. Hilang tempat bergantung untuk meminta pertolongan juga mengeruhkan keadaan apabila individu menanggung tekanan seorang diri dan membiarkannya berlarutan sehingga membawa kepada gejala sakit mental yang semakin ketara.
Sokongan dari institusi keluarga merupakan penyelesaian terbaik dalam menangani gejala gangguan mental. Setiap ahli keluarga perlu memainkan peranan aktif dalam mengambil berat, membantu ahli keluarga yang terjejas dari aspek kewangan, ambil peduli masalah yang menimpa ahli keluarga dan memberi sokongan padu dalam membina kekuatan emosi bagi menangani tekanan yang dihadapi. Hal ini kerana, keluarga merupakan organisasi kecil yang dapat mengawal gejala gangguan masalah mental pada peringkat awalnya dari menjadi lebih serius dan sukar dirawat.
Justeru, beberapa langkah untuk memupuk kesihatan mental seperti penjagaan kesihatan yang optimum dengan mendapatkan rehat secukupnya amat disarankan, mengambil pemakanan yang seimbang, memberi sokongan moral, melakukan aktiviti bersama keluarga dan melakukan aktiviti riadah seperti bersenam, membantu ahli keluarga yang tertekan dari terus hanyut berada dalam kemurungan. Jika dilihat kembali mendapatkan rehat secukupnya bukanlah perkara kecil yang perlu dipandang remeh sebaliknya rehat yang mencukupi perlulah diseimbangkan dengan mendapatkan makanan yang berkhasiat dan tidur mengikut kadar yang ditetapkan. Hal ini penting kepada mereka untuk bijak menyeimbangkan masa bekerja, berehat dan waktu bersama keluarga.
Perkara ini tidak boleh dipandang enteng kerana ia akan menyumbang kepada tekanan dan masalah kesihatan. Tidur yang mencukupi adalah penting untuk diambil kira. Ini kerana, tidur yang cukup akan membawa kepada banyak kebaikan iaitu dalam memperoleh kesejahteraan emosi dan pengurusan krisis yang baik, mengurangkan risiko menghidap penyakit kronik seperti sakit jantung, buah pinggang, dan tekanan darah tinggi, menjadikan otak untuk berfungsi dengan baik agar boleh berfikir, menganalisis dan memiliki daya ingatan yang tinggi serta membolehkan tubuh badan berasa lebih cergas dan dapat memberikan fokus yang baik dalam menjalani aktiviti fizikal seharian.
Antara langkah lain yang boleh diikhtiarkan dengan mendapatkan pemakanan yang seimbang. Pemakanan yang seimbang dapat menghasilkan kesihatan mental yang baik dan sihat. Suri rumah perlu bijak dan celik dalam merencanakan menu makanan harian bagi keluarga tersayang. Makanan yang sihat dan bernutrisi tinggi perlu diamalkan dan elakkan mengambil makanan segera yang menyumbang kepada jumlah kalori yang tinggi. Bijak memilih menu sihat dengan giat mencuba menu baru seperti masakan arab, cina, dan barat juga dapat mengubah corak pemakanan yang sihat untuk seluruh ahli keluarga.
Sementelahan itu, aktif melibatkan diri dengan aktiviti kekeluargaan antara langkah yang praktikal untuk mengelakkan diri daripada bersendirian. Langkah ini dapat membendung berlakunya kemurungan. Aktiviti ibadah seperti solat berjemaah, tadarus al-Quran, berpuasa, bercerita sejarah nabi, menghafaz al-Quran, berdoa, berzikir, membaca al-Mathurat, mengadakan tazkirah dan azan di rumah. Kesemua aktiviti ini dapat mengeratkan hubungan dengan Allah SWT di samping secara tersiratya dapat mengeratkan hubungan sesama ahli keluarga.
Di samping itu, bersenam juga boleh dijadikan sebagai rutin seharian. Senaman mempunyai kebaikan tersendiri iaitu membantu melancarkan peredaran darah dan oksigen ke sistem saraf bagi membantu otak berfungsi dengan lebih baik. Hal ini dapat menjadikan pemikiran menjadi tenang dan lapang serta membantu minda untuk berfikir dengan baik. Luangkan masa selama sepuluh minit untuk melakukan aktiviti regangan dan disusuli dengan aktiviti riadah yang lain misalnya, bermain badminton, bermain bola, dan joging dapat merembeskan hormon serotonin yang melahirkan rasa gembira dan kepuasan dalam diri.
Tuntasnya, kesejahteraan emosi menitikberatkan pengamalan gaya hidup yang sihat di samping bijak menguruskan setiap masalah yang dihadapi. Jangan biarkan kemurungan menguasai diri anda dan melenyapkan kebahagiaan dalam menikmati kehidupan yang Allah kurniakan. Sentiasa bersyukur dan menghargai orang yang terdekat iaitu keluarga sendiri menjadikan hidup lebih bahagia dan sejahtera di dunia dan akhirat. Prihatin dengan masalah yang menimpa ahli keluarga dan galak memberi sokongan moral dan sosial dapat mewujudkan mental sihat dan keluarga bahagia. Sayangi diri dan keluarga.
Penulis: Dr. Abdul Rashid Bin Abdul Aziz,
Pensyarah Kanan, Program Kaunseling,
Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan,
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).