Gambar hiasan

KEBELAKANGAN ini terjadi beberapa isu yang menyentuh sensitiviti agama dan kaum majoriti di negara kita yang mencetuskan pelbagai reaksi dan tindak balas dalam kalangan masyarakat. Semenjak kita mencapai kemerdekaan lebih enam dekad, jika ditelusuri para pemimpin terdahulu amat berhati-hati apabila mengambil tindakan yang menyentuh kontrak sosial, agama, pendidikan dan kebudayaan. Ini kerana setiap dari komponen ini ada batas sempadan yang tersendiri dan sewajarnya tidak dilintasi atau diceroboh sesuka hati.

Jika garis sempadan ini dijaga dan dihormati oleh semua pihak ia akan memastikan keharmonian antara kaum sentiasa dipeliharan dan tidak diperjudikan. Peristiwa pergeseran kaum yang pernah dirakam dalam sejarah negara pasca merdeka dahulu menjadi pengajaran kepada semua pihak agar ia tidak berulang kembali.

Pemimpin politik punya peranan yang besar dalam memastikan batas sempadan yang boleh mencetuskan pergeseran antara kaum tidak dilintasi kerana tindakan mereka mempunyai pengaruh yang besar. Rakyat sendiri juga punyai peranan dalam menjaga setiap tingkah laku masing-masing agar sentiasa berkelakuan dalam batasnya, tidak melangkaui sempadan yang sepatutnya. Tetapi kata pepatah ada menyebut, dalam ‘setandan pisang tidak semuanya berbuah elok’. Begitulah dalam masyarakat kita yang majmuk dan rencam, pasti ada kelompok kecil yang sengaja ‘melintasi’ sempadan yang akhirnya mencetuskan polemik isu perpaduan yang mengambil masa untuk diredakan.

Dalam keadaan rasa sensitif amat tinggi, sebarang isu kecil yang tercetus boleh menjadi punca kepada reaksi luar jangka malah yang lebih menggusarkan apabila tiada isu yang terjadi tetapi sebaliknya sengaja dicipta dan dimomokkan sehingga masyarakat percaya dan bertindak. Penulis berpandangan ada dua elemen yang akan memastikan sempadan ini tidak dilintasi sesuka hati iaitu pertamanya setiap dari kita menjadi rakyat yang beradab dan keduanya melihat elemen keadilan lebih utama dari kesamarataan.

Menyentuh mengenai menjadi rakyat yang beradab, hakikatnya telah lama wujud pelbagai adat dan budaya yang diamalkan dalam sesuatu masyarakat yang mempunyai maksud dan tujuan tersendiri. Apabila dilihat dalam perspektif yang lebih luas, penekanan meneruskan tradisi adat dan budaya zaman berzaman dalam kehidupan seharian adalah satu proses didikan halus bagi melahirkan generasi masyarakat yang beradab.

Beradab menjadikan seseorang individu tahu dalam mengawal tingkah laku, sikap dan pertuturan apabila hidup dalam bermasyarakat. Dalam konteks Malaysia sebagai sebuah negara yang majmuk yang rakyatnya terdiri daripada pelbagai kaum dan agama, amat penting untuk beradab pada satu sama lain, beradab pada pemimpin dan paling penting beradab dengan sejarah pembentukan negara ini.

Ini kerana jika tidak beradab pada sejarah pembentukan negara ini, natijahnya lahirlah sekelompok insan-insan yang kurang adab yakni biadab pada negara. Mereka biadab pada Perlembangaan Negara, biadab pada hak keistimewaan kaum lain, biadab pada kepercayaan dan anutan agama yang berbeza dan pelbagai lagi bentuk kebiadaban yang diperlihatkan tanpa rasa malu mahupun sesal.

Menyentuh soal kesamarataan dan keadilan, pendekatan kesamarataan tidak boleh terpakai pada semua keadaan kerana kita perlu bersandar pada satu lagi prinsip yang lebih utama iaitu keadilan. Adalah kurang tepat jika berpegang utuh pada kepercayaan bahawasanya dengan mengambil pendekatan kesamarataan ia akan membawa kepada keadilan. Perlu difahami bahawa kesamarataan (equality) tidak semestinya membawa kepada keadilan (equity) kerana kedua-dua mempunyai pemberat yang berbeza dan tidak boleh terpakai pada semua keadaan.

Dalam konteks Malaysia sebagai sebuah negara yang dikenali dengan kemajmukan kaumnya, mengambil pendekatan kesamarataan dalam menggubal sebarang dasar khususnya berkaitan rakyat perlu dibuat secara berhati-hati oleh kerajaan. Tidak hanya dalam soal menggubal dasar, apa sahaja perkara yang dituntut untuk kerajaan laksanakan terutamanya yang boleh ditafsirkan sebagai melintasi sempadan harus dicermati dan diteliti dengan sebaiknya.

Ketaksuban memperkenalkan konsep kesamarataan pastinya akan membunuh konsep keadilan yang lebih insani dan tidak menzalimi. Penulis berpegang kepada prinsip bahawa sesuatu dasar yang ingin diangkat perlu berdasarkan kepada realiti sebenar dan teras sejarah pembentukan negara ini. Ia bukannya bersandarkan kepada andaian yang tidak berpijak di bumi yang nyata, diselebungi dengan sentimen berlebihan dan lebih malang lagi demi memenuhi kepentingan sesetengah pihak sahaja.

Kita bersyukur di sebalik beberapa isu-isu yang terjadi baru-baru in, ia mulai mereda hasil ketegasan, nasihat dan kebijaksanaan pemimpin di atas. Dalam semangat Aidilfitri ini, jadikan bermaaf-maafan untuk merungkai segala salah faham dan persengketaan, kekalkan nikmat keharmonian, toleransi dan perpaduan yang sekian lama kita rasai ini.

Penulis merupakan Penolong Pendaftar di Pusat Tamhidi Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Setiausaha Badan Kebajikan Kakitngan USIM