Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bercakap kepada media selepas hadir ke Majlis Sambutan Tahun Baru Cina 2023 di Dewan Perhimpunan China Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH). Foto MOHD ADZLAN, 22 JANUARI 2023.

KUALA LUMPUR – Sebahagian besar tuntutan dalam Perjanjian Malaysia (MA63) sudah dapat diselesaikan, kata Perdana Menteri.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Kerajaan Pusat telah mengembalikan kuasa pelaksanaan perbelanjaan infrastruktur awam kepada wilayah Sabah dan Sarawak.

“Perbelanjaan semuanya dari pusat, termasuk bagi pembangunan klinik dan sekolah. Sekarang ini kita turunkan pelaksanaan ke peringkat negeri menerusi Jabatan Kerja Raya secara bersyarat.

“Pengawasan dan peraturan kewangan yang ketat selain dipantau Kementerian Kewangan.

“Kuasa itu dipulangkan kepada wilayah Sabah dan Sarawak dalam Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) yang sudah lama tertangguh juga sudah diluluskan,” katanya kepada media selepas menghadiri Sambutan Tahun Baru Cina unjuran Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH).

Beliau ditemani isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Menteri Sains dan Teknologi, Chang Lih Kang dan Presiden Gerakan, Datuk Seri Dominic Lau.

Dalam sidang media sama, Anwar berkata, peruntukan tahunan sebanyak RM16 juta kepada Sarawak sudah tidak munasabah.

Oleh yang demikian, Keraajan Perpaduan akan menaikkan kadar itu kepada RM300 juta setahun.

“Ada format dan peraturan yang meningkatkan peruntukan kepada RM300 juta setahun, tertakluk kepada beberapa perincian perjanjian.

“Hal ini bagi saya penting untuk kita dilihat betapa kita serius menunaikan janji dalam MA63,” katanya lagi.

Khamis lalu, Anwar berkata, Kerajaan Perpaduan berpendirian setiap perjanjian yang dimeterai bersama Sabah dan Sarawak termasuk MA63 harus ditepati serta ditunaikan.

Anwar berkata, selaku pemimpin nombor satu negara ketika ini, beliau bertanggungjawab memastikan perkara itu diteruskan dan mengakui sejak beberapa tahun kebelakangan ini, pelbagai usaha telah dilakukan oleh Kerajaan Persekutuan untuk mengembalikan hak itu termasuk meminda Perlembagaan Persekutuan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast