Sekitar pemandangan di Jabatan Kecemasan Hospital Kuala Lumpur ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette. Foto HAZROL ZAINAL, 04 JULAI 2021.

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)  melaksanakan ‘short stay ward’ (wad jangka pendek) di beberapa hospital yang mempunyai ruang sebagai salah satu inisiatif bagi menangani isu kesesakan di Jabatan Kecemasan.

Menterinya, Dr Zaliha Mustafa berkata, kriteria wad berkenaan akan ditambah baik untuk mengelakkan pesakit menunggu lebih lama.

“Selain itu, sistem pengurusan katil pesakit (bed management system) akan terus diperkemas. Ini mustahak agar penggunaan katil (bed occupancy) di hospital-hospital dapat dikawalselia dan diurus dengan baik,” katanya menerusi kenyataan.

Selain itu katanya, KKM mahu melihat keberkesanan perlaksanaan inisiatif seperti lanjutan waktu bekerja di fasiliti kesihatan tertentu.

Dr. Zaliha Mustafa

Menurutnya, penilaian dan semakan di hospital dan klinik kesihatan perlu dibuat oleh Timbalan Ketua Pengarah menerusi Program Perubatan, Program Kesihatan Awam dan Program Penyelidikan dan Sokongan Teknikal.

Tambah beliau, usaha untuk memperkasakan “Lean Healthcare System” sedang dipertingkatkan, terutama di hospital yang berdepan masalah kesesakan di Jabatan Kecemasan.

Dalam masa yang sama katanya, KKM akan terus melihat kepada model kerjasama dengan agensi-agensi kerajaan, kerajaan-kerajaan negeri, badan bukan kerajaan dan juga sektor swasta agar isu kesesakan di Jabatan Kecemasan dapat ditangani dengan menyeluruh dan berkesan.

“Penyumberluaran dan kerjasama dengan sektor swasta misalnya telah banyak membantu semasa pandemik Covid-19 melanda.

”Model-model seperti ini akan dilihat secara lebih khusus termasuk kerjasama dengan pengamal perubatan swasta. Semestinya inisiatif seperti ini memerlukan dana yang khusus,” katanya lagi.

Ujar Zaliha, digitalisasi sistem perkhidmatan kesihatan juga perlu diutamakan dengan menaik taraf teknologi maklumat dan komunikasi sedia ada.

“Banyak solusi dan intervensi digital dalam perkhidmatan kesihatan telah diperkenal di negara lain, dan Malaysia harus mendukung aspirasi yang sama agar perkhidmatan kesihatan dapat berjalan dengan lebih efisien,” kata Zaliha.

Selain itu, beliau menambah, usaha untuk mendapatkan lebih ramai tenaga kerja dalam kalangan doktor, jururawat, penolong pegawai perubatan, pegawai farmasi, profession sains bersekutu, kakitangan sokongan dan lain-lain akan terus dilakukan.

Sehubungan itu katanya, KKM akan bekerjasama dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Kementerian Kewangan bagi mencari titik temu terbaik untuk menyelesaikan isu ini dalam jangka masa sederhana dan panjang. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast