Ahmad Yahaya.- HAZROL ZAINAL, 02 SEPTEMBER 2020.

KUALA LUMPUR – Kerajaan perlu segera memanggil wakil Kedutaan Sweden susulan insiden membakar al-Quran di Stockholm, Sweden beberapa hari lalu.

Ketua Dewan Ulamak Pas Pusat, Datuk Ahmad Yahaya berkata, insiden sedemikian seolah-olah mendapat restu daripada Kerajaan Sweden atas nama kebebasan sedangkan ia merupakan langkah provokatif dan menghina agama Islam.

“Tindakan membakar al-Quran oleh ahli politik berdarah Sweden-Denmark, Rasmus Paludan bukanlah kali pertama berlaku.

“Tahun lalu tindakan provokasi yang sama telah dilakukan sehingga mendorong kebangkitan daripada umat Islam.
Paludan mensasarkan bandar-bandar yang didiami oleh umat Islam seperti Linkoping, Malmo dan Stockholm sendiri.

“Lebih mendukacitakan adalah reaksi kerajaan Sweden lebih bimbangkan keganasan yang bakal tercetus selepas insiden tersebut, bukan sebaliknya mencegah langkah membakar al-Quran itu terlebih dahulu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Oleh itu, menurut Ahmad, sewajarnya kerajaan menyuarakan amaran yang tegas ini melalui jalan diplomatik yang ada. Kita tidak boleh berkompromi dengan sebarang insiden provokatif apatah lagi menghina kesucian agama Islam.

Beliau juga mahu umat Islam supaya turun bersolidariti bersama-sama membantah penghinaan terhadap agama Islam ini pada Jumaat ini 27 Januari ini di KLCC berarak ke kedutaan Sweden.

“Sudah sampai masanya umat Islam menyuarakan bantahan keras terhadap Kerajaan Sweden ini. Saya juga ingin menggesa Kerajaan supaya mengusulkan suatu mesyuarat tergempar OIC bagi membincangkan tindakan susulan yang lebih meluas melibatkan negara-negara Islam yang lain.

“Setiap ruang diplomatik perlu dioptimum bagi membantah tindakan tersebut dengan tegas,” katanya yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena.- MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here