Ketua Polis Daerah Dang Wangi, ACP Noor Dellhan Yahaya berucap pada Majlis Penghargaan kepada Pengamal Media di Ibu Pejabat Daerah Dang Wangi, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 25 JANUARI 2023.

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) bekerjasama dengan Polis Jenayah Antarabangsa (Interpol) dan Unit Biro Pusat Nasional (NCB) Moscow dalam membantu siasatan polis mengenalpasti identiti pasangan warga Rusia menceroboh Menara Merdeka 118.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, setakat ini pihaknya telah merekodkan keterangan daripada 13 individu termasuk kakitangan menara ikonik tersebut.

“Kita telah minta bantuan Interpol untuk pengesahan selain bantuan NCB Moscow di Rusia untuk kesan identiti dua suspek pasangan suami isteri itu.

“Selain itu, kami juga sedang menunggu laporan analisa video pasangan terbabit oleh pihak Cyber Security dan setakat ini ketulenan video itu masih belum dapat disahkan lagi,” katanya ketika ditemui di Program Hari Bersama Media Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi hari ini.

Tambah Noor Dellhan lagi, polis juga telah menerima maklum balas daripada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) mengenai status kedua-dua suspek itu dan pasangan itu dipercayai telah keluar dari Malaysia.

Pun begitu, katanya, siasatan masih diteruskan dan polis sedang dalam proses untuk melengkapkan kertas siasatan.

“Kita nasihatkan pihak pengurusan mana-mana bangunan yang menjadi tumpuan agar meningkatkan serta memperketatkan kawalan keselamatan premis masing-masing bagi mengelak insiden pencerobohan berulang di masa akan datang,” ujarnya.

Sebelum ini, polis telah menerima satu laporan dari pihak Menara Merdeka 118 yang dibuat di Balai Polis Tun H S Lee pada 29 Disember lalu.

Gambar pasangan warga Rusia itu, Ivan Beerkus dan Angela Nikolau berdiri di puncak bangunan kedua tertinggi di dunia berkenaan dimuat naik di laman sesawang SkyscraperCity.com.-MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Polis siasat pasangan Rusia panjat Menara Merdeka 118