Foto Facebook PSPS Riau.

KUALA LUMPUR – Kelab Divisyen 2 Indonesia, PSPS Riau yang dimiliki oleh usahawan Malaysia, Norizam Tukiman atau dikenali Zamsaham mengumumkan mereka telah membubarkan pasukan secara rasmi selepas hanya sempat mengharungi enam perlawanan liga pada musim 2022-23.

Berita itu diumumkan di laman Facebook rasmi kelab itu.

“Secara rasminya pembubaran penguran pasukan PSPS Riau. Terima kasih kepada semua peralatan pasukan yang telah berjuang bersama dalam Liga 2 Indonesia 22/23.

“Jumpa lagi di musim hadapan, semoga lebih baik dari sebelumnya.

“Sekali lagi, TERIMA KASIH,” kata kelab itu.

Difahamkan keputusan tersebut terpaksa dibuat kerana saingan Liga 2 Indonesia telah dibatalkan dan masih tiada hala tuju yang jelas sejak dihentikan pada Oktober tahun lalu akibat tragedi Kanjuruhan.

Namun keputusan tersebut turut disambut baik oleh para penyokong PSPS Riau yang jelas tidak puas hati dengan prestasi pasukan itu sejak diambil alih oleh Zamsaham.

Berdasarkan kedudukan terkini Liga 2, PSPS Riau telah menghuni tangga tercorot tanpa kemenangan dan hanya mengutip satu mata selepas mengharungi enam perlawanan.

Dengan pembatalan Liga 2, PSPS Riau terselamat daripada diturunkan pangkat ke Divisyen 3 Liga Indonesia walaupun menerima pelbagai kecaman dan kritikan daripada penyokong.

Pada 12 Januari lalu Persatuan Bola Sepak Seluruh Indonesia (PSSI) mengumumkan saingan Liga 2 musim 2022/23 tidak lagi berjalan disebabkan oleh beberapa faktor.

Menurut Setiausaha Agung PSSI, Yunus Nusi, keputusan membatalkan Liga 2 dibuat berdasarkan perbincangan dengan majoriti pemilik kelab yang tidak mahu saingan liga kembali bersambung. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast