Dr Rais Yatim

KUALA LUMPUR – Kerugian akibat penipuan dalam talian (scammers) melibatkan Tabung Haji (TH) menerusi pelbagai institusi perbankan kini mencecah RM1.961 juta.

Perkara berkenaan dilaporkan dalam Mesyuarat Bersama antara Jawatankuasa Pilihan Khas Kesejahteraan Rakyat dan Lembaga Tabung Haji (TH) yang berlangsung hari ini.

Sehubungan itu Yang di-Pertua Dewan Negara, Datuk Seri Dr Rais Yatim yang mempengerusikan mesyuarat berkenaan berkata, TH dan bank perantara disarankan supaya meningkatkan aspek keselamatan daripada segi urusan perbankan dalam talian.

“Dicadangkan juga agar syarat-syarat pengeluaran wang secara dalam talian diperketatkan sama seperti agensi lain seperti yang dibuat oleh Permodalan Nasional Berhad (PNB) dalam urusan jual beli Amanah Saham Bumiputera,” katanya menerusi kenyataan.

Dalam masa yang sama katanya, mesyuarat tersebut turut memutuskan bahawa kehilangan wang semasa proses dan interaksi pengeluaran wang (debit) dalam akaun TH adalah tertakluk kepada kesiapsiagaan bank terbabit.

Sehubungan itu jelasnya, ganti rugi atau aspek kompensasi kepada mangsa penipuan hendaklah diuruskan melalui polisi insuran perbankan itu sendiri.

“Oleh itu, isu kehilangan wang simpanan pendeposit di bank yang terbabit melalui aktiviti penipuan dalam talian didapati oleh jawatankuasa sebagai tanggungjawab utama bank berkenaan agar pendeposit tidak hilang keyakinan kepada mereka,” ujarnya.

Selain itu Rais berkata, TH disarankan supaya memberi peluang kepada pendeposit membuat pilihan sama ada urusan simpanan dan pengeluaran dibuat secara manual atau secara dalam talian.

Ujarnya, mesyuarat berkenaan turut sepakat memutuskan agar pihak bank perantara menyediakan laporan atau penyata ganti rugi yang diberikan kepada mangsa penipuan khususnya yang berkaitan dengan TH agar masalah rakyat dapat dipantau dari semasa ke semasa.

“Mesyuarat turut mencadangkan agar pihak media dan Lembaga Tabung Haji memperhebatkan lagi kempen kesedaran penipuan dalam talian kepada masyarakat.

“Kempen tersebut boleh dihebahkan menerusi media sosial, media cetak dan media penyiaran,” tambah beliau.

Sementara itu Rais berkata, keputusan mesyuarat kali ini akan diusulkan dalam Dewan Negara yang akan datang supaya isu penipuan wang pendeposit dalam talian dapat perhatian sewajarnya. – MalaysiaGazette