Jegan (dua dari kiri) menunjukkan minyak masak paket yang dirampas pihaknya pada sidang media di Pulau Pinang hari ini.

BUKIT MERTAJAM – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang merampas 2.9 tan minyak masak paket bersubsidi dalam bilik sauna terbiar di sebuah apartmen di Jalan Bukit Gambir, George Town, semalam.

Serbuan jam 10 pagi itu turut membawa kepada tangkapan seorang lelaki berusia 40 tahun.

Pengarahnya, S. Jegan berkata, bertindak atas risikan selama dua minggu serta aduan awam pihak KPDN negeri menyerbu premis tersebut yang digunakan sebagai stor untuk menyimpan minyak masak berkenaan.

“Siasatan awal mendapati, minyak masak paket seberat 1kg setiap satu itu diperoleh tanpa lesen CSA (barang kawalan berjadual) borong atau runcit.

“Hasil soal siasat awal, lelaki berkenaan mendakwa premis tersebut diuruskan bapanya dan dia tidak mempunyai maklumat berkaitan kegiatan terbabit dan kita juga kini sedang mengesan lelaki berusia 60-an itu bagi siasatan lanjut.

“Anggaran jumlah keseluruhan nilai rampasan adalah RM6,407,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Kata Jegan, pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut termasuk mengenal pasti modus operandi yang digunakan suspek bagi mendapatkan bekalan tersebut.

“Selain itu, kita juga siasat minyak subsidi itu sebenarnya diedarkan kepada siapa termasuk tempoh operasi suspek.

“Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya. – MalaysiaGazette