Dr Asmadi Abdul Rahman

KUANTAN – Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) mengagihkan sebanyak RM42.8 juta kepada 9,071 penerima zakat bulanan pada tahun ini.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Baitulmal dan Operasi) Muip, Dr Asmadi Abdul Rahman berkata, penerima yang disahkan layak menerima bantuan zakat selepas Pegawai Penilai MUIP membuat semakan berdasarkan had kifayah.

“Jadi penerima yang layak akan menerima bantuan antara RM200 hingga RM800 sebulan mengikut penilaian dan kategori keperluan.

“Agihan nilai bantuan diberikan mengikut had kifayah yang ditetapkan pegawai penilai kita,” katanya.

Asmadi berkata, MUIP menyalurkan perbelanjaan sebanyak RM6.8 juta bagi program bantuan kesihatan kepada asnaf kepada 1,652 penerima.

“Jumlah itu merupakan kos rawatan termasuk menyediakan peralatan kesihatan seperti kerusi roda, katil, alat bantuan pernafasan dan anggota palsu.

“Sebanyak RM20.9 juta pula diberikan bagi tujuan pembangunan masjid dan surau yang membabitkan pelbagai aktiviti seperti menaik taraf dan menambah kemudahan diperlukan,” tambah Asmadi.

Menurutnya, kutipan zakat diagihkan kepada 48 jenis agihan bantuan zakat kepada  golongan asnaf  bergantung kepada hasil zakat yang dipungut dan diterima.

“Semakin banyak bayaran zakat diterima setiap tahun, maka lebih banyak saluran bantuan dapat dilakukan oleh MUIP,” ujarnya. – MalaysiaGazette