Shaiful Azman dibawa keluar mahkamah selepas dijatuhi hukuman satu bulan penjara dan didenda sebanyak RM210,000 atas kesalahan menerima suapan pada tahun 2013 lalu

KUANTAN – Seorang pengarah yang mengaku bersalah dijatuhi hukuman satu bulan penjara dan didenda sebanyak RM210,000 atas kesalahan menerima suapan pada tahun 2013 di Mahkamah Seksyen 2, Kuantan hari ini.

Mahkamah turut menetapkan hukuman penjara 10 bulan ke atas Shaiful Azman Taha, 45,  jika gagal membayar denda tersebut.

Pendakwaan dibuat oleh Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Rifah Izzati Abdul Mutalif di hadapan Hakim Datuk Ahmad Zamzani Mohd Zain.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa menerima suapan RM42,000 daripada NZH Mumi Enterprise ketika menjadi Pengarah Pusat Khidmat Kontraktor Kementerian Kerja Raya Malaysia Negeri Pahang sebagai dorongan mengeluarkan Sijil Kontraktor Kerja Taraf Bumiputera (STB) kepada syarikat berkenaan.

Shaiful didapati melakukan satu kesalahan di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 (Akta 694) dan boleh di hukum di bawah Seksyen 24 (1) akta yang sama.

Jika disabitkan bersalah, tertuduh boleh dikenakan hukuman di bawah Seksyen 24 (1) Akta SPRM 2009 iaitu penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang dari lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau sepuluh ribu ringgit mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Peguam Mohd Baharuddin Ahmad Kassim yang mewakili tertuduh merayu agar anak guamnya hanya dikenakan hukuman penjara dalam tempoh singkat dengan alasan tertuduh hanya menerima gaji RM2,500, separuh daripada gaji asal kerana telah ditahan kerja sejak tahun 2018.

Tertuduh juga perlu menyara isteri dan dua anaknya.

Selain itum menurut beliau, Saiful Azman juga mengalami depresi serius hingga mengganggu kehidupan sehariannya.

Simptom itu disahkan oleh pihak Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) serta akan menerima rawatan susulan pada 31 Januari ini.

Namun, Rifah Izzati memohon satu hukuman setimpal terhadap tertuduh dengan mengambil kira keseriusan kesalahan menerima rasuah mencemarkan imej penjawat awam, jabatan dan kerajaan.

Selepas mengambil kira hujah kedua-dua pihak pembelaan dan pendakwaan, Ahmad Zamzani menjatuhi hukuman penjara terhadap tertuduh bermula hari ini. – MalaysiaGazette