Tertuduh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, Ayer Keroh, Melaka hari ini atas tiga pertuduhan mengemukakan dokumen palsu bagi menuntut insentif Program Penjana Kerjaya (Penjana) Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) berjumlah RM1.12 juta sejak tiga tahun lalu.

MELAKA – Seorang ahli perniagaan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, Ayer Keroh, di sini hari ini atas tiga pertuduhan mengemukakan dokumen palsu bagi menuntut insentif Program Penjana Kerjaya (Penjana) Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) berjumlah RM1.12 juta sejak tiga tahun lalu.

Tertuduh, Mohd Eszahar Mansor, 38, membuat pengakuan itu, sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa memperdayakan Perkeso dengan mengemukakan dokumen mengandungi pernyataan palsu dalam borang Pengesahan Pekerja Program Insentif untuk menuntut insentif berjumlah RM1,123,030 di bawah Penjana 1.0 dan Penjana 2.0.

Tertuduh didakwa mengemukakan 103 nama pekerja baharu dalam dokumen berkenaan sedangkan nama tersebut bukan pekerja syarikatnya.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Wisma Perkeso, Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka, (MITC) Ayer Keroh antara 6 Oktober 2020 hingga 21 April 2021 di bawah Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Jika disabitkan kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara tidak lebih daripada 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali nilai butir matan palsu itu atau RM10,000 mengikut mana-mana nilai lebih tinggi.

Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM, Mohamad Azriff Firdaus Mohamad Ali mencadangkan jaminan RM30,000 bagi ketiga-tiga pertuduhan selain memohon syarat tambahan tertuduh perlu melapor diri ke pejabat SPRM Negeri Sembilan sekali setiap sebulan sehingga kes selesai.

Tertuduh yang diwakili peguam Azrul Zulkifli Stork bagaimanapun memohon anak guamnya diberikan jaminan rendah denga alasan hanya berpendapatan RM5,000 sebulan, isteri masih belajar dan perlu menanggung dua anak yang masih bersekolah.

Selepas mendengar hujah kedua-dua pihak, Hakim Elesabet membenarkan tertuduh diikat jamin RM30,000 bagi semua pertuduhan.

Tertuduh juga diminta melapor diri di pejabat SPRM Seremban pada minggu pertama setiap bulan, menyerahkan dokumen perjalanan kepada mahkamah dan tiga mengganggu saksi pendakwaan.

Mahkamah menetapkan 10 Februari depan ditetapkan sebagai tarikh sebutan semula kes. – MalaysiaGazette.