Tok Beng Yeow

JOHOR BAHRU – Seorang wanita yang ditahan orang awam selepas disyaki mengambil wang daripada laci sebuah kaunter bas ekspres di stesen bas Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Kulai, semalam, dipercayai mempunyai masalah kesihatan mental.

Ketua Polis Daerah Kulai, Supt Tok Beng Yeow berkata, kejadian itu yang tular di media sosial, berlaku kira-kira 9 malam, Selasa lepas.

“Soal siasat ke atas individu berkenaan telah dijalankan namun dia gagal memberikan butiran peribadi diri dan disyaki mengalami masalah mental,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, wanita itu kemudian dibawa ke Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim, Kulai, untuk pemeriksaan lanjut.

Tok berkata, orang awam bersama penjaga kaunter itu telah menyoal siasat wanita berkenaan sehingga dia mengembalikan wang yang diambilnya dan pihak yang terlibat enggan memanjangkan kes tersebut.

Video berdurasi lebih empat minit mengenai kejadian itu tular di media sosial sejak semalam. – Bernama