Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN) Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), hari ini mengeluarkan notis kesiapsiagaan kemungkinan banjir kilat dalam tempoh 12 jam di enam negeri di seluruh negara.

Di Perak, kawasan berisiko terjejas ialah daerah Kerian (Mukim Gunong Semanggol, Mukim Beriah serta kawasan sekitarnya) manakala Pahang melibatkan daerah Kuantan (Mukim Sungai Karang serta kawasan sekitarnya).

Di Terengganu, daerah yang berisiko banjir kilat ialah Kuala Terengganu (Mukim Cenering, Mukim Batu Buruk, Mukim Kuala Terengganu serta kawasan sekitarnya) dan daerah Marang (Mukim Bukit Payung serta kawasan sekitarnya), manakala di Kelantan melibatkan daerah Kota Bharu (Mukim Padang Raja, Mukim Tiong, Mukim Tok Ku serta kawasan sekitarnya).

Di Sarawak, membabitkan tiga daerah iaitu Kuching, Samarahan dan Miri, manakala di Sabah melibatkan daerah Tuaran di Pekan Tenghilan, Kampung Berungis serta kawasan sekitarnya.

Menurut kenyataan JPS, notis yang dikeluarkan pada pukul 5 petang tadi itu adalah berdasarkan makluman ramalan hujan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), sistem Southeastern Asia-Oceania Flash Flood Guidance System (SAOFFGS) dan model ramalan banjir JPS, bahawa terdapat risiko banjir kilat di beberapa lokasi di negeri terbabit jika berlaku hujan lebat atau ribut petir yang signifikan.- BERNAMA