Azarin Razali bersama Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil ketika lawata-ke MYNIC Berhad. Foto: MYNIC

KUALA LUMPUR – Apabila disahkan menghidap penyakit radang saraf tunjang yang mengakibatkan beliau lumpuh pada 2015, Azarin Razali tidak hanya diam menangisi nasib.

Sebaliknya, lelaki berusia 50 tahun itu kekal positif untuk menyesuaikan diri dengan kehidupan berkerusi roda.

Berbekalkan minat terhadap permotoran, beliau mendapat idea untuk gabungkan kerusi roda dan enjin bermotor agar ianya lebih mudah dan pantas untuk bergerak.

“Niat saya apabila menceburi bidang perniagaan ini adalah untuk membantu orang yang mempunyai nasib seperti saya.

Sekitar akhir tahun 2016, saya mula mempromosi Gospeedi di dalam sosial media dan alhamdulillah ianya mendapat sambutan,” katanya dalam satu kenyataan.

Azarin yang berasal dari Klebang, Melaka merupakan pengasas syarikat Good Take Care Trade yang mengeluarkan kerusi roda bermotor pertama di Malaysia.

Menggunakan jenama produk ‘Gospeedi’, kerusi roda ini direka dengan gabungan komponen terpilih seperti custer hadapan yang berbeza, rim belakang, sportrim dan jenis tayar untuk menjadikannya lebih praktikal dan bergaya.

Berbekalkan modal sebanyak RM8,000, Azarin berjaya menjual 3 buah kerusi roda berenjin ini kepada pelanggan beliau melalui aplikasi Facebook.

Menyedari kepentingan teknologi terhadap kemajuan perniagaan, Azarin mula belajar selok belok dalam mempelajari konsep perniagaan e-dagang.

“Ketika Perintah Kawalan Pergerakan bermula, saya mula memahami bagaimana perniagaan akan lebih berkembang maju jika kita melengkapkan ekosistem e-dagang. Ini termasuk perniagaan melalui media sosial, E-market place, enjin carian dan premis digital.”

“Alhamdulillah dengan bantuan latihan insentif daripada MYNIC Berhad, saya mula mempelajari cara membuat laman web serta cara mempromosi produk secara digital.

“Mempunyai laman web perniagaan sendiri memang cita-cita saya sejak mula melakukan perniagaan kerana saya yakin ianya merupakan satu platform untuk menembusi pasaran antarabangsa,” katanya lagi.

Menurut Azarin, laman pendapatan bulanan beliau melonjak lebih 50 peratus apabila premis digital www.wheelchair2u.my dilancarkan  pada  7 Jun 2021.

Katanya, setelah hampir dua tahun mempunyai laman sesawang sendiri, produk Gospeedi telah berjaya mendapat tempahan pelanggan antarabangsa seperti Singapura, Australia dan Rusia.

Sementara itu, Ketua Pengawai Eksekutif MYNIC Berhad, Datuk Ts. Hasnul Fadhly Hasan berkata, MYNIC amat komited dalam membimbing golongan OKU untuk berjaya menguasai perniagaan melalui premis digital.

Katanya, sejak inisiatif OKU MYNIC diperkenalkan pada tahun Februari 2020, agensi itu melatih lebih 300 usahawan OKU termasuk wheelchair2u.my dan juga daperage.my.

“Daripada 300 usahawan OKU yang dilatih yang pada mulanya hanya memperolehi pendapatan di bawah RM1,000, kini lebih 70 peratus daripada mereka berjaya memperolehi pendapatan lebih RM1,000 sebulan. Malah hampir 20 peratus berjaya menjana pendapatan melebihi RM5,000 sebulan.”

“Antara objektif inisiatif ini adalah untuk membantu serta mempercepatkan adaptasi digital di kalangan rakyat, khususnya golongan OKU dalam menyokong dan membawa perniagaan mereka dari luar talian ke dalam talian. Usaha ini juga dapat memastikan agar tiada golongan yang tertinggal dalam perjalanan digitalisasi negara,” katanya.

Menurut Datuk Hasnul, MYNIC juga menawarkan diskaun khas sebanyak 50 peratus seumur hidup kepada semua golongan OKU yang mendaftar melalui inisiatif itu. – MalaysiaGazette