Badan Peguam Negara
Tan Sri Idrus Harun.- Foto MUHD NA’IM, 09 JANUARI 2023.

KUALA LUMPUR – Mesyuarat Jemaah Menteri yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berpendapat tindakan menarik balik semakan keputusan berhubung Batu Puteh sebagai tidak teratur dan tidak wajar.

Menurut Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun, keputusan itu dibuat pada 11 Januari selepas Laporan Pasukan-Petugas Khas (PPK) Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah danTubir Selatan dibentangkan pada Jemaah Menteri.

Bagaimanapun katanya, kerajaan menghormati keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa yang diputuskan sebelum ini.

“Jabatan Peguam Negara sedang mengkaji syor-syor yang dibuat oleh Pasukan Petugas Khas tersebut termasuk isu berkaitan dengan tort misfeasans (tort of misfeasance in public office).

“Dan akan mengambil tindakan yang perlu bagi melaksanakan keputusan yang dibuat oleh Jemaah Menteri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, Batu Puteh merupakan isu sangat penting kerana melibatkan kepentingan strategik dan kedaulatan negara.

“Dalam hal ini, kerajaan akan terus mempastikan kepentingan dan kedaulatan Malaysia sentiasa dilindungi dan terpelihara,” katanya.

Pentadbiran bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menubuhkan PPK pada 9 Oktober 2021.

Penubuhan itu bagi membuat kajian menyeluruh, meneliti dan mencadangkan opsyen-opsyen yang bersesuaian dengan mendapatkan pandangan daripada pakar undang-undang antarabangsa.

“Usaha ini bertujuan untuk menyemak semula undang-undang berkenaan permohonan semakan dan pentafsiran berkenaan kes Pedra Branca/Pulau Batu Puteh dan pasukan petugas khas ini akan dipengerusikan oleh bekas Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali.

’Pada masa yang sama, Jemaah Menteri juga telah membuat keputusan untuk mendapatkan pandangan undang-undang awal berkenaan tindakan undang-undang di bawah “Tort of Misfeasance” ke atas mana-mana pihak yang didapati telah melakukan kecuaian dan kekhilafan ekoran tidak meneruskan permohonan semakan dan pentafsiran kes Pedra Branca/Pulau Batu Puteh,’’ katanya.

Pada 15 Oktober 2022, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang juga perdana menteri ketika keputusan penarikan balik permohonan semakan dan pentafsiran penghakiman, pada 2018, dibuat melibatkan Batu Puteh susulan nasihat oleh pegawai dilantik Apandi Ali.

Beliau berkata, pelantikan Apandi yang juga bekas peguam negara sebagai pengerusi Jawatankuasa Kecil Tort of Misfeasance di Jabatan Peguam Negara (JPN) juga mempunyai konflik berkepentingan.

“Sepatutnya angkat orang lain. Walaupun demikian kalau nak bawa ke mahkamah antarabangsa, biar mahkamah antarabangsa putuskan,” katanya.

Mahathir berkata, seharusnya negara menerima keputusan telah dibuat Mahkamah Keadilan Antarabangsa.

“Bagi saya, kita sudah janji dengan Singapura, kita akan terima apa jua keputusan dibuat mahkamah. Lepas itu apabila mahkamah buat (keputusan), kita tak boleh tolak. Kita dah janji,” kata Mahathir mengulas keperluan bagi Malaysia menuntut semula Batu Puteh.

Pada 2008, mahkamah terbabit memutuskan Batu Puteh adalah milik Singapura, Batuan Tengah kepada Malaysia dan Tubir Selatan kepunyaan negara di perairan wilayah di mana ia berada.

Pada Jun 2017, Malaysia memohon kepada mahkamah sama untuk meminta tafsiran penghakiman itu.

Pada 2018, kerajaan Pakatan Harapan bawah pimpinan Mahathir menarik balik permohonan membatalkan keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa yang menganugerahkan bidang kuasa undang-undang Batu Puteh kepada Singapura. – MalaysiaGazette