Abdul Jalil Hassan. Foto HAZROL ZAINAL, 28 JUN 2021.

SEPANG – Kemboja tidak akan melayan usaha Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) yang mahu membawa pulang warga Malaysia yang terkandas di negara itu.

Sebaliknya Pengarah siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, kerajaan negara berkenaan hanya akan bekerjasama dengan Kementerian Luar dan polis negara ini untuk sama-sama membantu menyelamatkan rakyat Malaysia.

Jelas beliau, keputusan berkenaan dibuat kerana Kemboja kecewa dengan maklumat sebahagian NGO tidak benar dan kemudian digembar-gemburkan sebelum ini.

“Pihak Kemboja memohon segala maklumat penyelamatan mangsa hendaklah disalurkan melalui Kedutaan Malaysia atau PDRM kepada pihak berkuasa Kemboja.

“Maklumat-maklumat yang disalurkan dari pihak lain seperti Pertubuhan Bukan Kerajaan tidak akan dilayan sama sekali kerana dikhuatir atas kesahihan maklumat dan menggangu penyiasatan dan operasi menyelamat mangsa,” katanya.

Beliau menyatakan demikian pada sidang media ketibaan lima rakyat Malaysia yang diselamatkan selepas terkandas di Kemboja, hari ini.

Abd. Jalil tidak menolak kemungkinan terdapat NGO yang mengambil kesempatan meminta bayaran daripada waris mangsa sebagai usaha untuk membawa pulang mereka yang berada di Kemboja.

Bagaimanapun beliau tidak menafikan terdapat NGO yang menjalankan usaha membantu menyelamatkan rakyat Malaysia  yang terkandas secara sukarela menggunakan saluran yang betul.

“Memang ada NGO yang sukarela, tidak kenal penat lelah tapi tahu salurkan kepada siapa walaupun ianya memgambil masa,” ujarnya.

Baru-baru ini, beliau mengetuai delegasi ke Kemboja untuk berbincang isu jenayah penipuan kerja.

Lawatan berkenaan bertujuan untuk memohon pihak berkuasa Kemboja menyelamatkan rakyat Malaysia yang masih terkandas di negara berkenaan.

Dalam pada itu, Abd Jalil memuji kerjasama negara berkenaan yang membantu lima rakyat dibawa pulang pada hari ini.

“Dengan undang-undang pihak berkuasa Kemboja membantu kita untuk membawa pulang lima orang ini yang sepatutnya berada urusan membawa pulang berlangsung lebih sebulan tapi selesai kurang 24 jam,” jelasnya.

Sementara itu, Abd Jalil memberitahu, video yang tular mendakwa rakyat Malaysia di Kemboja didera dan diseksa adalah tidak benar.

“Rakyat Malaysia di sana  tidak pernah dikurung. Tidak ada disuruh makan babi atau tikus,” ujarnya. – MalaysiaGazette