Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Perkhidmatan LRT Laluan Ampang mengalami kelewatan atas faktor keselamatan akibat penjajaran landasan yang bengkok (kinked) berhampiran stesen LRT Bandaraya.

Jelas Rapid KL, LRT tersebut  dijalankan dengan kelajuan yang lebih perlahan menyebabkan kelewatan perkhidmatan sembilan minit di dalam Daerah Pusat Perniagaan dan 18 minit di luar Daerah Pusat Perniagaan.

Menurutnya, pemerhatian awal menunjukkan berlaku kerosakan struktur jejambat yang dipercayai akibat daripada kerja-kerja pembinaan bersebelahan dengan kawasan berkenaan.

“Jurutera Rapid Rail sedang berada di kawasan terbabit bagi menilai keadaan bersama-sama dengan pakar struktur bagi memastikan keselamatan dan kekukuhan,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Dalam masa sama pengendali perkhidmatan tersebut mengumumkan penutupan sementara laluan stesen Masjid Jamek dan stesen Bandaraya atas faktor keselamatan sehingga kekukuhan dan keselamatan dapat dipastikan.

Dalam masa yang sama,  tren-tren dari Putra Heights akan berpatah balik di Plaza Rakyat; tren-ren dari Sentul Timur
akan berpatah balik di Stesen Bandaraya.

Selain itu, Rapid KL turut disediakan perkhidmatan ‘shuttle’ atau ulang-alik diantara stesen Plaza Rakyat dan Masjid Jamek.-MalaysiaGazette