Dadah bernilai RM210,000 dirampas pasukan JSJN KL daripada dua sindiket dadah didalangi warga tempatan dalam dua operasi berasingan di ibu negara pada 25 dan 26 Januari 2023.- Gambar iIhsan IPKKL.

KUALA LUMPUR – Taktik dua sindiket pengedaran dadah yang menjadikan kereta dan bilik simpanan pemadam api di kawasan perumahan awam sebagai tempatĀ  menyorok bekalan dadah terbongkar.

Kedua-dua sindiket itu yang aktif didalangi warga tempatan berjaya ditumpaskan dan polis merampas dadah bernilai RM210,000 dalam dua operasi berasingan selama dua hari di sekitar ibu negara.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim berkata, dalam operasi pertama Op Evodia pada 25 Januari lalu, pihaknya melancarkan dua serbuan.

Dalam serbuan di Taman Cannaught, Cheras polis berjaya mencekup empat lelaki warga tempatan yang berusia antara 29 hingga 34 tahun.

“Tiga daripada suspek positif dadah dan kesemua mereka memiliki sembilan rekod lampau kesalahan jenayah dan narkotik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam serbuan berikutnya, polis menyerbu dan melakukan pemeriksaan terhadap sebuah kereta Toyota Camry di kawasan taman permainan kanak-kanak di taman perumahan yang sama.

Dalam serbuan itu, polis merampas heroin sebewrat 12.3 kilogram bernilai RM191,000 dan juga barang kemas RM15,000 serta wang tunai RM700 dan kereta bernilai RM40,000.

Tambah Azmi, pasukan sama kemudian telah mengatur strategi dan melaksanakan dua serbuan menerusi operasi kedua iaitu Op Fireball pada 26 Januari lalu juga menahan seorang suspek lelaki tempatan berusia 31 tahun di tepi jalan kawasan Perumahan Awam San Peng.

Ujarnya, pemeriksaan dalam bilik simpanan alat pemadam api bomba di sebuah perumahan awam itu menjumpai dadah jenis ganja seberat lima kilogram bernilai RM15,000 serta wang tunai RM170.

“Tangkapan dan serbuan di dua tempat berbeza di ibu negara itu berjaya membawa kepada penumpasan dua sindiket dadah didalangi warga tempatan seramai lima orang suspek.

“Siasatan lanjut polis ke atas mereka mendapati, kedua-dua sindiket yang menjalankan aktiviti pengedaran dadah secara berasingan itu mula dikesan bergiat secara aktif sejak tiga bulan
yang lepas.

“Modus operandi sindiket pertama adalah dengan menjadikan kenderaan sebagai stor penyimpanan dadah manakala sindiket yang kedua pula menjadikan bilik simpanan alat simpanan alat pemadam api bomba sebagai tempat penyimpanan dadah bagi
mengaburi pihak berkuasa,” katanya.

Tegas Azmi lagi, semua dadah yang dirampas itu diperoleh oleh sindiket berkenaan daripada pembekal di sekitar Lembah Klang dan dipercayai untuk pasaran sekitar ibu negara.

Kesemua suspek tidak memiliki pekerjaan yang tetap dan menjadikan kegiatan pengedaran dadah berkenaan sebagai punca pendapatan utama mereka sementara siasatan lanjut ke atas semua suspek masih diteruskan polis.

Kesemua suspek sudah direman selama tujuh hari bermula hari ini sehingga 1 Februari depan di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukan hukuman gantung sampai mati mandatori.

“Jumlah keseluruhan rampasan dadah daripada dua sindiket berkenaan mampu menampung penggunaan seramai 37,000 orang pengguna dadah.

“Polis berharap agar warga kota khususnya penduduk di Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan perumahan awam agar terus menyalurkan maklumat kepada pihak polis supaya kegiatan jenayah di kawasan tersebut dapat diambil tindakan yang sewajarnya bagi memastikan kawasan perumahan di Kuala Lumpur bebas daripada kegiatan jenayah dan dadah,” ujarnya. – MalaysiaGazette