PUTRAJAYA – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bersama-sama Institut Latihan Kemahiran Belia dan Sukan (ILKBS) tampil dengan program Skills For Life yang direka khas bagi memperkasa belia untuk pelbagai kemahiran tambahan.
Lebih menarik, program itu juga lebih fokus kepada golongan belia B40, M40, belia minoriti serta belia yang sudah bekerja berusia maksimum 40 tahun.
Menurut Menteri Beliau dan Sukan, Hannah Yeoh, program dengan menggunakan kaedah Do It Yourself akan diadakan sepanjang hujung minggu Februari dan Mac ini.
“Kita telah rancang sebanyak 22 aktiviti dirancang oleh 22 ILKBS terpilih di seluruh Malaysia yang merangkumi antaranya senggaraan elektrik asas, pembaikan asas kenderaan dan penyaman udara, menggunting rambut, penyediaan masakan tradisional, menjahit pakaian dan fotografi telefon pintar.
“Semua maklumat berkaitan program ini boleh anda dapatkan di laman sosial Facebook kami, kita ada kenakan bayaran minima antara RM10 hingga RM30,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Skills For Life 2023 di Menara KBS di sini hari ini.
Dalam pada itu, Hannah juga memaklumkan KBS juga giat merancang latihan kemahiran bahasa kepada belia yang berminat.
“Kita mahu belia menguasai bahasa Inggeris, bahasa Melayu, bahasa Mandarin dan bahasa Tamil supaya dapat menambah kemahiran baharu sekiranya belia ini menghadiri temu duga untuk dapatkan pekerjaan.
“Juga untuk tujuan kenaikan pangkat. Kita ada banyak guru bahasa yang sudah bersara, mereka hendak menyumbang untuk mengajar generasi muda ketika ini,” ujarnya. – MalaysiaGazette