Bintang UFC, Connor McGregor dan basikalnya yang rosak dilanggar kereta. Foto Instagram @thenotoriousmma

DUBLIN — Bintang UFC, Conor McGregor nyaris maut selepas dilanggar kereta dari belakang ketika sedang berbasikal berhampiran rumahnya di Dublin, Ireland pada Jumaat.

Rakaman susulan kemalangan terbabit dikongsikan atlet berusia 34 tahun itu di laman Instagramnya.

“Kena langgar kereta tadi dari belakang. Silau matahari, pemandu tidak dapat melihat saya.  Kelajuan penuh terus ke arah saya.

“Terima kasih tuhan, ini bukan masa saya.  Terima kasih gusti dan judo juga. Mempunyai kesedaran mengenai pendaratan menyelamatkan nyawa saya.” katanya dalam kapsyen Instagram.

Bagaimanapun, tidak lama selepas mendapat perhatian media atlet kelahiran Crumlin itu memadamkan hantarannya.

McGregor tidak kelihatan tercedera namun seluarnya koyak akibat terseret di jalan ketika kejadian.

“Saya mungkin sudah mati di sana,” kata McGregor dalam video yang kedengaran pemandu kenderaan terbabit meminta maaf berkali-kali.

McGregor berterima kasih kepada pemandu kerana berhenti dan memeriksanya.

Selepas kemalangan itu, pemandu kenderaan itu, Nick, menumpangkan McGregor pulang bersama basikalnya yang rosak.

McGregor diiktiraf sebagai salah seorang bintang terbesar dalam UFC.

Pada 2019 beliau mengumumkan persaraannya daripada seni mempertahankan diri campuran (MMA) namun kembali daripada persaraan pada 2020. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast