Shahril Sufian Hamdan

KUALA LUMPUR – Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Shahril Hamdan tidak akan melakukan proses rayuan terhadap tindakan pucuk pimpinan parti menggantung keahlian beliau selama enam tahun.

Jelas beliau, ini kerana tindakan terhadapnya didakwa dilakukan parti secara tidak mengikut prosedur yang telah digariskan parti.

“Apabila orang cakap buat rayuan, saya ingat rayu pun nak buat rayuan macam mana sedangkan prosedur asal pun tak betul, takkan rayuan pula tiba-tiba jadi okay (diterima balik).

“Mungkinlah mereka mengharapkan kita u turn, kita berdiam diri, kita ikut. Sorry (maaf), saya tak boleh buat perkara itu kerana semua ini tidak mengubah hakikat bahawa ini susah untuk saya telan.

“InsyaAllah Shahril Hamdan kalau dah jadi fighter (pejuang) kita takkan ‘gostan’ (pusingan U),” katanya dalam satu video di Facebook beliau hari ini.

Video berdurasi kurang dua minit itu dibuat bekas Ketua Penerangan UMNO ekoran penggantungan beliau bersama-sama tiga lagi pemimpin iaitu bekas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein; Ketua UMNO Bahagian Tebrau, Datuk Maulizan Bujang dan Ketua UMNO Bahagian Jempol, Datuk Seri Mohd Salim Shariff.

Dalam pada itu, Shahril mendakwa penggantungan beliau mungkin disebabkan dirinya yang lantang di dalam parti.

“Saya ada baca sedikit mesej yang sengaja ditularkan mungkin kononnya saya meletak jawatan selaku Ketua Penerangan, kemudian saya minta presiden (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) ambil tanggungjawab selepas kekalahan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

“(Atau) kerana saya buat video cadangan untuk perubahan dalam UMNO termasuk untuk buat R&D Department (Jabatan Pembangunan dan Penyelidikan). Saya tak pastilah kalau orang boleh terima sama ada ini adalah sebab munasabah.

“Mungkin kalau mereka nampak orang tak boleh terima, dia boleh cipta pula alasan yang baharu, tidak mengapa. Saya ingat kita boleh agak sebab dan motif utama yang mereka ada untuk buat perkara ini,” katanya.

Dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO malam tadi, parti itu turut memecat keahlian bekas Pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar dan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Rembau, Khairy Jamaluddin. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. UMNO sekarang bukan UMNO 1946……jadi yang sekarang DULU KINI DAN SELAMANYA memang NGOK PENDENDAM KUKU BESI..PERASUAH GILA KUASA JAWATAN EGO …..PROJEK MASYUKKK

Comments are closed.