Bursa Malaysia
Logo Bursa Malaysia

KUALA LUMPUR – Bursa Malaysia dijangka mencatatkan lantunan semula minggu ini apabila aktiviti dagangan kembali normal selepas minggu dagangan singkat pada minggu yang baru berakhir ini susulan cuti umum Tahun Baru Cina, kata para peniaga.

Naib presiden penyelidikan ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata, sepanjang minggu ini, bursa tempatan kekal dalam fasa penstabilan apabila sentimen masih berhati-hati berikutan kekurangan pemangkin belian meskipun belian berterusan daripada institusi tempatan dan pelabur runcit.

“Kami melihat bahawa aktiviti belian beralih kepada saham permodalan kecil terutamanya dalam sektor pembinaan, pengangkutan dan tenaga.

“Meskipun menyediakan penilaian lebih murah dan peluang belian bagi pelabur, prestasi indeks petunjuk pasaran masih lemah berbanding bursa serantau lain,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata, bursa juga akan mendapat manfaat daripada jangkaan lebih ramai pelabur yang memasuki pasaran selepas cuti perayaan serta para pelabur yang terus mengambil keuntungan daripada ekuiti Amerika Syarikat untuk menambah pendedahan mereka dalam pasaran saham antarabangsa.

Sementara itu, Hong Leong Investment Bank Bhd berkata, menjelang keputusan Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan dan musim pengumuman keputusan suku keempat 2022 pada Februari, ditambah dengan kekurangan pemangkin tempatan yang kukuh, FBM KLCI dijangka diniagakan stabil memandangkan tumpuan kepada kaunter berharga rendah dan kaunter ACE.

“Kami percaya pasaran dapat menguji semula paras halangan pada 1,518 hingga 1,528 selagi indeks petunjuk pasaran kekal di atas paras menaik.

“Sebaliknya, paras sokongan di bawah 1,477 hingga 1,486 akan membawa kepada penjualan menuju ke arah paras 1,454 hingga 1,468,” katanya dalam satu nota penyelidikan.

Bagi asas mingguan, indeks utama susut 2.78 mata kepada 1,497.55 pada Jumaat berbanding 1,500.33 pada minggu sebelumnya.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 50.88 mata kepada 10.893.36, Indeks FBM Emas Shariah naik 83.93 mata kepada 11,177.55, dan Indeks FBMT 100 melonjak 30.13 mata kepada 10,563.91.

Sementara itu, Indeks FBM ACE menokok 175.15 mata kepada 5,731.23 dan Indeks FBM 70 menambah 253.19 mata kepada 13,759.84.

Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 2.41 mata kepada 190.77, Indeks Tenaga meningkat 34.95 mata kepada 880.76 dan Indeks Teknologi menambah 0.89 mata kepada 68.29.

Indeks Perladangan berkurangan 40.19 mata kepada 6,841.23 dan Indeks Perkhidmatan Kewangan jatuh 64.94 mata kepada 16,470.

Jumlah dagangan mingguan turun kepada 11.21 bilion unit bernilai RM6.12 bilion daripada 14.28 bilion unit bernilai RM9.63 bilion pada minggu sebelumnya.

Jumlah dagangan Pasaran Utama merosot kepada 7.23 bilion saham bernilai RM4.95 bilion daripada 8.87 bilion saham bernilai RM7.42 bilion.

Jumlah dagangan waran turun kepada 951.90 juta unit bernilai RM130.73 juta daripada 1.52 bilion unit bernilai RM294.96 juta.

Jumlah dagangan Pasaran ACE berkurangan kepada 3.02 bilion saham bernilai RM1.04 bilion daripada 3.88 bilion saham bernilai RM1.91 bilion pada minggu sebelumnya. – BERNAMA