Isham Jalil

KUALA LUMPUR – Bekas Ketua UMNO Bahagian Tanjung Karang,Tan Sri Noh Omar dan bekas Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Khairy Jalamuddin serta 42 ahli yang lain diingatkan tidak mencabar Majlis Kerja Tertinggi (MKT) dan Lembaga Disiplin.

Ketua Penerangan UMNO Isham Jalil berkata, sebarang tindakan yang dilakukan oleh mereka boleh memburukkan keadaan.

Menurut beliau, kesemua mereka boleh merayu atau bertemu dengan Lembaga Disiplin untuk membela diri.

“Jika Tan Sri Noh dan Khairy serta yang lain-lain boleh mengalahkan bukti-bukti terhadap mereka yang menunjukkan mereka bersalah, saya percaya Lembaga Disiplin akan membuat keputusan yang seadilnya.

“Namun saya ingin menasihatkan kepada mereka supaya usahlah mencabar-cabar Lembaga Disiplin atau Majlis Kerja Tertinggi untuk memecat mereka seperti yang mereka telah lakukan sebelum ini, ini akan memburukkan lagi keadaan dan menunjukkan keangkuhan,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu Isham berkata, UMNO terpaksa tegas terhadap ahli yang tidak mematuhi disiplin dalam parti.

Ini kerana dalam setiap organisasi perlu ada disiplin jika tidak akan berlaku anarki dan menjadi lemah serta mudah ditewaskan musuh.

“Persoalannya, adakah kita perlu menjadi lembut atau lembik dan membiarkan sahaja perkara ini berlaku tanpa apa-apa tindakan?

“Dalam hal ini kita perlu bertegas. Sebab UMNO kini berada dalam masa yang penting untuk berhadapan dengan cabaran-cabaran mendatang.

“Kita tidak boleh berjuang dan menentang musuh dalam perang jika ada duri dalam daging di tubuh,” kata Isham.

Beliau mengulas pertanyaan daripada beberapa pihak terhadap tindakan menggugurkan keahlian Noh dan Khairy Jalamuddin pada Jumaat lalu.

Isham memberi contoh bagaimana tentera Islam yang tidak berdisiplin kalah dalam Perang Uhud.

“Walaupun UMNO adalah parti politik dan bukan organisasi tentera yang mana hukuman tidak mendengar arahan dalam tentera adalah seberat hukuman mati, namun setiap individu dalam organisasi yang bukan tentera pun perlu ikut disiplin berorganisasi supaya organisasi sentiasa kukuh dan tidak menjadi lemah.

“Dan hukuman mesti adil kepada semua, jika hanya orang-orang bawahan sahaja dikenakan tindakan namun nama-nama besar dilepaskan begitu sahaja, maka ia tidak adil dan bukanlah suatu contoh tauladan yang baik,” kata Isham.

Mengulas lanjut, Isham yakin Lembaga Disiplin UMNO telah membuat penelitian terhadap laporan-laporan dan bukti-bukti yang ada sebelum menggantung keahlian Noh dan memecat Khairy Jamaluddin serta 42 orang ahli UMNO lain.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast