DURIAN TUNGGAL – Seramai 100 penuntut Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) menerima Bantuan Awal Pengajian (BAP) sumbangan Yayasan Bank Rakyat (YBR).
Bantuan berjumlah RM1,000 tiap seorang itu diberikan bagi membolehkan mereka, yang dipilih dari keluarga B40 untuk meneruskan pengajian, sekali gus meringankan beban keluarga.
Menurut Pengurus Besar YBR, Syaiful Rizal Abdul Ghani, sejumlah RM100,000 BAP telah diperuntukkan kepada penuntut UTeM, dalam usaha yayasan membantu pelajar kurang berkemampuan.
“Melihat kepada usaha ini, YBR sebagai organisasi yang berusaha meningkatkan sosioekonomi negara melalui Pendidikan telah mencari ruang dan peluang membantu mereka yang memerlukan khususnya B40 dan asnaf bagi memastikan pelajar mendapat pendidikan lebih baik.
“Saya percaya melalui bantuan ini sedikit sebanyak dapat menyuntik semangat serta motivasi penuntut untuk terus mengorak langkah bagi mengubah nasib keluarga ke arah kehidupan yang lebih baik serta mencipta kejayaan di masa hadapan,” katanya pada majlis penyerahan BAP YBR dan perasmian SIR Corner kepada pelajar dan perpustakaan UTEM.
Replika cek BAP dan upacara gimik penyerahan disaksikan Naib Canselor UTeM, Prof. Ts. Dr. Massila Kamalrudin.
Turut hadir, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni), Prof. Madya Datuk Dr. Sabri Mohamad Sharif; Timbalan Ketua Pustakawan, Siti Saluwa Jamal; Pengurus Komunikasi Korporat YBR, Mohamad Ghazali Zainal Abidin; dan Pengurus Serambi Ilmu Rakyat, Zatul Hasanah Mohd Radzhuan.
Menurut Syaiful Rizal, pemilihan untuk menerima BAP dibuat oleh Jabatan Hal Ehwal Pelajar UTEM dan semua mereka adalah penuntut Diploma dan Ijazah Sarjana Muda.
Dalam majlis sama, YBR melalui Perpustakaan Digital Serambi Ilmu Rakyat (SIR Corner) telah menyumbangkan set kelengkapan kepada perpustakaan UTEM supaya dapat memberikan manfaat kepada penuntut UTEM dalam mendapatkan maklumat terkini serta bahan bacaan ilmiah secara digital.
Syaiful Rizal berharap, melalui SIR Corner dapat meningkatkan carian ilmu tanpa sempadan serta sebagai alternatif kepada penuntut untuk mencari sumber rujukan dalam penghasilan tesis atau tugasan yang diberikan sepanjang tempoh pengajian.
“Inisiatif SIR Corner ini menjadi salah satu medan pemerkasaan pendidikan dalam merealisasikan visi YBR yang berteraskan pendidikan serta akan menjadi kelebihan YBR berbanding yayasan lain.
“Sepanjang tahun 2022, sebanyak 20 IPT di Malaysia telah terpilih menerima SIR Corner dengan jumlah peruntukan kira-kira RM300,000.
“YBR juga telah memperuntukkan RM350,000.00 setiap tahun untuk langganan dan pangkalan data bahan digital SIR dari pembekal dan ia bertujuan menggalakkan tabiat membaca kepada penuntut dan masyarakat tanpa sempadan masa dan lokasi,” katanya. – MalaysiaGazette