MEMPHIS – Jabatan Polis Memphis telah membubarkan unit khas Scorpion, selepas lima orang anggotanya dituduh membunuh seorang lelaki, Tire Nicholas, 7 Januari lalu.
Unit itu ditubuhkan dengan keanggotaan 50 orang polis dengan sasaran untuk menurunkan tahap jenayah di kawasan tertentu.
Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) membuktikan lima bekas anggota polis Memphis yang didakwa membunuh seorang lelaki kulit hitam menendang dan menumbuk mangsa selama beberapa minit ketika Tyre Nicholas menangis sambil memanggil nama ibunya.
Anggota polis itu dilihat memukul mangsa tanpa ditentang oleh Nicholas, 29.
Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden berkata, beliau sangat sedih menyaksikan rakaman video yang mengerikan itu.
Peguam untuk keluarga Nicholas menyamakan serangan itu dengan tindakan anggota polis memukul pemandu Los Angeles Rodney King pada tahun 1991.
Protes aman berlaku di Memphis pada malam Jumaat selepas video itu tular, dengan beberapa penunjuk perasaan menghalang lebuh raya utama di bandar itu.
Manakala tunjuk perasaan berskala kecil diadakan di tempat lain di negara ini.
Sambil memegang sepanduk, mereka menuntut keadilan untuk Nicholas dan mahu keganasan polis dihentikan.
Anggota-anggota polis itu pada mulanya telah menahan Nicholas kerana disyaki memandu secara melulu, namun dakwaan itu tidak dapat dibuktikan.
Nicholas meninggal dunia di hospital tiga hari selepas dia ditahan dan dipukul oleh anggota-anggota polis berkenaan.
Nicholas berkulit hitam, begitu juga dengan lima pegawai yang didakwa dalam kes itu.
Jabatan Polis Memphis mengeluarkan empat video di persimpangan lalu lintas dengan jumlah keseluruhannya kira-kira sejam.
Rakaman pertama menunjukkan anggota polis menarik mangsa keluar dari keretanya sambil menjerit memintanya baring di atas tanah
Dalam beberapa saat salah seorang anggota polis melepaskan renjatan senjata ke arah Nicholas mengakibatkan dia melompat lalu berjaya melarikan diri.
Video berasingan daripada kamera CCTV yang dipasang pada tiang utiliti, menunjukkan anggota polis memukul Nicholas selepas mengejarnya di kawasan perumahan.
Dua anggota polis dilihat menahan Nicholas manakala yang lain bergilir-gilir menendang dan menumbuknya serta memukulnya dengan baton.
Mereka mengheretnya ke atas tanah dan menopangnya duduk mengadap kereta polis.
Lebih 20 minit berlalu sehingga kelihatan ambulans tiba.
Nicholas maut disebabkan serangan jantung dan kegagalan buah pinggang akibat dipukul. – Agensi