KUCHING – Pakar kejuruteraan awam Sarawak Consolidated Industries Berhad (SCIB) telah mengeluarkan surat penarikan diri kepada Kencana Healthcare Sdn. Bhd. (KHSB) untuk cadangan kejuruteraan, kontrak perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) yang melibatkan projek hospital pakar yang terletak di Johor Bahru.

Dalam kenyataannya, SCIB berkata, syarikat itu sudah menerima surat anugerah daripada KHSB bertarikh 13 Ogos 2021 untuk kontrak EPCC yang melibatkan perolehan peralatan modal serta konsesi pemajakan untuk perolehan, pembekalan, pemasangan, pengujian dan pentauliahan peralatan perubatan.

Sebagai sebahagian daripada penarikan diri daripada projek itu, KHSB akan membayar balik yuran komitmen berjumlah RM1.65 juta yang telah dibayar oleh SCIB dalam dua peringkat di bawah perjanjian penyelesaian,

Penarikan diri daripada kontrak tidak akan mempunyai sebarang kesan material ke atas penggearan, pendapatan sesaham dan aset bersih syarikat bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2023.

Pengarah Urusan Kumpulan SCIB, Rosland Othman berkata, pihkanya sedang menguatkuasakan haknya di bawah kontrak dan mengambil langkah yang perlu untuk melindungi kepentingan SCIB dalam mengurangkan risiko yang timbul daripada kelewatan atau tidak pergerakan kemajuan projek disebabkan oleh ketidakpastian dan ketidakupayaan untuk mendapatkan operator yang diperlukan untuk projek itu.

“Selain itu, keputusan ini dibuat kerana menyemak dan mengemas kini rekod buku pesanan kami untuk menggambarkan keadaan semasa.” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast