Antara perwakilan yang mengibarkan bendera UMNO pada Ucapan Dasar Presiden UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO 2022 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto MOHD ADZLAN, 13 JANUARI 2023.

KETIDAKSTABILAN terus membadai UMNO – parti yang dianggap keramat oleh orang Melayu pada satu ketika dulu.

Pembersihan yang dilakukan UMNO pada malam Jumaat lalu menyaksikan 44 orang dipecat dan lima digantung keahlian nampaknya tidak memberi sebarang kedamaian kepada parti tersebut.

Bak seketul batu yang dilempar ke dalam air riak-riak kecil yang terhasil kini menjadi ombak semakin besar dan jika tidak ditangani mungkin akan menjadi tsunami yang memusnahkan.

Nampaknya hanya sebahagian ahli UMNO yang bersetuju dengan tindakan yang diambil oleh Majlis Kerja Tertinggi parti.

Bagaimanapun sebahagian ahli lagi ternyata tidak bersetuju dengan tindakan yang disifatkan sebagai semberono, tidak taktikal dan tidak mempunyai strategi.

Memecat Tan Sri Noh Omar, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan mengantung keahlian Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Shahril Sufian Hamdan didakwa hanya memuaskan hati sebilangan kecil pemimpin dan ahli UMNO.

Namun sebahagian besar yang lain mengibaratkan langkah itu seolah-olah membakar rumah sendiri.

Mereka yang digugurkan itu bukan hanya mendapat sokongan oleh ahli di bahagian masing-masing tetapi juga dari bahagian-bahagian lain.

Sebelum ini sebaik Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tamat, UMNO menyingkirkan bekas Ketua UMNO Bahagian Ketereh Tan Sri Annuar Musa dan bekas Ketua UMNO Bahagian Pasir Salak Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman.

Memutar masa ke belakang, ramai yang tidak bersetuju dengan langkah parti menggugurkan nama-nama besar dalam PRU15 dan ramai yang berpendapat tindakan itu menyumbang kekalahan yang memalukan UMNO dalam sejarah pilihan raya.

UMNO harus sedar mereka hanya memperoleh 30 kerusi Parlimen pada PRU15 semata-mata undi daripada ahli parti sahaja.

Parti itu kehilangan sokongan pengundi atas pagar dan pengundi 18 jauh sekali. Kumpulan ini langsung tidak tertarik dengan UMNO hingga menyebabkan parti itu mengalami kekalahan memalukan dalam sejarah.

Selepas tewas PRU14, parti itu tidak langsung cuba memahami sentimen rakyat dan ahli akar umbi.

UMNO seolah-olah berada dalam gelembung sendiri dan dalam dunia yang tidak mempunyai orang lain selain ahli parti itu sahaja. Disebabkan itu, UMNO didakwa mengambil keputusan tanpa memikirkan sentimen awam yang menjadi pengundi.

Pada ketika rakyat semakin meluat sebilangan pemimpinnya kelihatan langsung tidak edah pandangan luar terhadap parti itu.

Mungkin mereka merasakan masih kuat  kerana berjaya menjadi ‘king maker’ dalam membentuk kerajaan selepas PRU15 biarpun parti tewas teruk.

Kini bukan sahaja masyarakat awam menolak UMNO tetapi dengan tindakan terbaharu memecat dan mengantung pemimpin yang didakwa melanggar disiplin, parti itu mungkin akan hilang sokongan ahli parti itu sendiri.

Lihat sahaja sokongan yang diterima oleh Khairy Jamaluddin yang bukan sahaja meraih simpati masyarakat umum tetapi ditawarkan untuk bersama-sama parti lawan.

Malah tidak sampai 24 jam dia dipecat, Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim ‘meminang’ beliau.

Bekas Ketua Pergerakan Pemuda UMNO itu ditawarkan jawatan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) kelab bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) dan menjadi penasihat belia di negeri itu.

Bekas Menteri Belia dan Sukan itu antara contoh pemimpin yang memahami dan mengetahui sentimen rakyat, kerana itu dia berjaya meraih simpati dalam tempoh yang singkat.

Sesuatu yang perlu disedari oleh pemimpin UMNO, parti ini bukanlah satu-satunya parti yang menawarkan ‘khidmat’ kepada orang Melayu dan Islam.

Mereka mempunyai pilihan lain iaitu Parti Pribumi Bersatu Malaysia,  Pas, Parti Amanah Negara dan Parti Pejuang Tanahair.

UMNO juga perlu faham, bersama-sama dengan Pakatan Harapan (PH) bukanlah satu jaminan untuk parti itu kembali mendapat sokongan termasuk daripada penyokong PH sendiri.

Jika UMNO terus mengabaikan sentimen rakyat dan ahli, bukanlah sesuatu yang mustahil parti yang banyak berjasa kepada orang Melayu dan Islam itu akan terus ditolak pada PRU16.

Tuah menjadi ‘king maker’ tidak mungkin berulang.

Fahamilah “faktor sebenar” mengapa parti itu terus gagal meraih sokongan.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. biarkan loncai terjun dengan labu2nya . biarkan biarkan .
    ros patut batalkan umno sekarang . inilah mas yang paling sesuai .

Comments are closed.