PASIR PUTEH – Seorang anggota polis berpangkat Lans Koperal mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini atas dua pertuduhan melupuskan keterangan dan bersubahat mencuri barang kes berkait kesalahan ketum,10 Jan lepas.
Tertuduh, Bob Fuzainey Hazoni, 41, didakwa bersama dua yang masih bebas, menyebabkan keterangan kes tersebut hilang dengan niat melindungi daripada hukuman undang-undang di stor barang kes Balai Polis Cherang Ruku di sini, antara jam 3 pagi hingga 4 pagi.
Dia didakwa mengikut Seksyen 201 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda, jika sabit kesalahan.
Bob Fuzainey juga didakwa bersubahat bersama-sama dua lelaki yang masih bebas, mencuri di stor barang kes pada masa dan tarikh sama mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 457 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara maksimum 14 tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Siti Asma’a Che Omar menawarkan jaminan RM20,000, manakala tertuduh yang diwakili peguam Ahmad ‘Adha ‘Amir Yasser Amri memohon jaminan dikurangkan dengan alasan anak guamnya menjaga bapa yang menghidap komplikasi penyakit jantung dan menanggung empat anak berusia satu hingga 14 tahun.
Majistret Mohamad Nazri Abdul Rahim kemudian membenarkan jaminan sebanyak RM7,000 dengan seorang penjamin serta menetapkan sebutan semula kes pada 21 Mac depan.
Tertuduh membayar jaminan tersebut. – BERNAMA