ABUJA – Bank Pusat Nigeria telah melanjutkan tarikh akhir penukaran wang kertas lama bagi wang kertas baharu.
Gabenor bank berkenaan berkata, orang ramai diberi tempoh sehingga 10 Februari ini terutama di kawasan luar bandar yang cawangannya terhad.
Beliau menambah, warga Nigeria mempunyai tujuh hari lagi untuk mendepositkan nota lama secara langsung dengan Bank Negara Nigeria (CBN).
Penganalisis mengkritik kerana berpendapat tempoh enam minggu tidak mencukupi untuk negara paling ramai penduduk di Afrika itu menghentikan penggunaan mata wang lama.
Media pula melaporkan wang kertas baharu tidak cukup dalam edaran menyebabkan orang ramai tidak dapat mengeluarkannya dari bank.
Pada bulan Oktober lalu, Bank Pusat Nigeria mengumumkan nota 1,000, 500 dan 200 naira akan diganti.
Menurutnya, 80 peratus daripada nota dalam edaran adalah di luar bank. – Agensi