Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan kunjungan hormat ke atas Presiden Singapura, Halimah Yacob di Istana, Singapura. 30 Januari 2023 Foto kredit: PMO

SINGAPURA- Presiden Singapura, Halimah Yacob bakal mengadakan lawatan negara ke Malaysia dalam tempoh beberapa bulan lagi.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia amat mengalu-alukan kehadiran ketua negara republik itu yang sekali gus membuktikan hubungan kukuh di antara kedua-dua negara.

“Dalam tempoh beberapa bulan lagi, kami akan menerima kunjungan Presiden Halimah ke Malaysia.

“Ini menunjukkan hubungan bilateral Malaysia-Singapura berada dalam keadaan yang baik.

“Sememangnya, Malaysia dan Singapura mempunyai hubungan istimewa disebabkan sejarah, budaya dan hubungan rakyat dengan rakyat.

“Meskipun kita telah mencapai pelbagai kejayaan bersama dalam tempoh beberapa dekad lalu, saya percaya masih banyak potensi besar yang boleh dilaksanakan bagi meningkatkan lagi hubungan di antara dua negara.

“Ini pastinya memberi manfaat yang lebih besar buat rakyat Malaysia-Singapura,” katanya semasa berucap di Majlis Makan Tengahari yang dihoskan Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong di Istana, di sini hari ini.

Terdahulu, Anwar yang dalam lawatan kerja sehari ke Singapura sempat mengadakan kunjungan hormat ke atas Halimah di Istana.- MalaysiaGazette