Mohd Puad Zarkashi waris sultan sulu ventilator keadilan najib sistem rahmah
Mohd. Puad Zarkashi

KUALA LUMPUR – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi mempersoalkan sama ada bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas sepatutnya dipertanggungjawabkan atas kes saman waris Sultan Sulu terhadap Kerajaan Malaysia.

Beliau membangkitkan persoalan itu berikutan Malaysia menang kes saman tersebut apabila mahkamah di Luxembourg yang bersidang Selasa lalu membuat keputusan memihak kepada kerajaan atas dakwaan seorang individu yang mendakwa sebagai ‘waris’ kepada Sultan Sulu.

Mohd. Puad menambah, mahkamah di Luxembourg turut mengetepikan perintah menyita aset syarikat cari gali Petronas di Azerbaijan dan Kaukasus Selatan.

Beliau memberitahu, sebelum itu, mahkamah timbang tara di Paris memutuskan Malaysia mesti membayar pampasan sebanyak RM63.3 bilion kepada waris Sultan Sulu.

“Surat Tommy pada 2019 dijadikan alasan. Surat yang menyatakan Malaysia kesal kerana menghentikan bayaran pampasan mulai 2013 dijadikan bukti Malaysia mengaku salah.

“Bayaran pampasan dihentikan kerana pencerobohan Lahad Datu. 10 anggota keselamatan terkorban kerana pencerobohan itu.

“Tidakkah Tommy bertanggungjawab? Sudahlah hilang Pulau Batu Puteh, Malaysia nyaris hilang aset dan kena bayar pampasan. Tommy Peguam Negara yang gagal,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.

Pada 26 Januari lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang & Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, perintah penahanan yang telah diketepikan itu telah dipohon berasaskan dua award timbang tara yang dikatakan dikeluarkan oleh penimbang tara yang dilantik secara tidak sah, Dr. Gonzalo Stampa yang dikatakan telah memberikan award kepada penuntut sebanyak AS$14.92 bilion.

Katanya, kerajaan Malaysia telah membantah secara konsisten prosiding timbang tara yang dikatakan itu, yang telah dirancang oleh penuntut.

Julai lalu, waris Kesultanan Sulu mendapat perintah penahanan untuk merampas aset Petronas Azerbaijan (Shah Deniz) dan Petronas South Caucasus, yang didaftarkan di Luxembourg. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast