KUALA LUMPUR – Dua anggota polis trafik yang mengiringi kenderaan membawa seorang wanita sarat mengandung yang nyaris bersalin dalam kereta ke hospital dihargai dalam satu majlis hari ini.
Lans Koperal Mohammad Rizwan Razali dan Mohammad Najmi Daud yang bertugas di Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bachok, Kelantan merupakan dua wira mengharungi kesesakan jalan raya sepanjang 20 kilometer.
Berkongsi detik itu, Mohammad Rizwan berkata, ketika kejadian dia bersama rakan setugasnya, Mohammad Najmi baru sahaja selesai menjalankan operasi di kawasan berkenaan danĀ dalam perjalan balik ke IPD Bachok.
“Pada ketika itu, saya melihat sebuah kereta jenis Proton Wira yang menggunakan laluan bertentangan dari arah Tangok menuju ke Jelawat.
“Saya sangka dia melakukan kesalahan dan mahu memeriksa tetapi selepas menahan kenderaan berkenaan, pemandu itu memaklumkan isterinya hendak bersalin dan bergegas ke hospital.
“Saya kemudian memohon kebenaran dari ketua bahagian yang kemudian memberi lampu hijau dan mengarahkan segera menghulurkan bantuan untuk mengiringinya klinik berdekatan,” katanya ketika ditemui di Majlis Penutupan Op Selamat 19 Tahun Baharu Cina 2023 di Maktab PDRM Cheras di sini hari ini.
Pada majlis yang sama, kedua-dua anggota berkenaan telah menerima Sijil Penghargaan Khas daripada Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain.
Mohammad Rizwan menambah, ibu mengandung yang dikejarkan ke klinik berdekatan namun mendapati tiada kemudahan ambulans sebelum membuat keputusan untuk mengiringi individu berkenaan ke Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZ) II, Kota Bharu pada kadar segera yang mungkin menggunakan laluan utama alternatif yang kurang kenderaan.
“Tiga hari selepas kejadian itu, barulah kami perasaan video berkaitan insiden kecemasan itu telah tular di media sosial dan kami terkejut sampai orang memberi reaksi tentang khidmat kami kepada ibu mengandung itu.
“Saya hanya menjalankan tugas dalam membantu orang awam yang dalam kesusahan dan kecemasan dan langsung tidak menjangkakan akan dihargai dengan sijil penghargaan daripada Timbalan Ketua Polis Negara hari ini.
“Bagi saya, Anugerah Khas ini akan menjadi inspirasi untuk saya terus berbakti kepada masyarakat pada masa akan datang,” katanya.
Sementara itu, Mohammad Najmi pula menyatakan rasa kesyukuran kerana wanita sarat mengandung yang dibantu ke hospital itu telah selamat bersalin dan tidak mempunyai sebarang komplikasi.
“Kami bersyukur wanita itu selamat bersalin tanpa mengalami sebarang komplikasi kesihatan,” ujarnya. – MalaysiaGazette