KUALA LUMPUR – Seorang wanita dilaporkan sesat ketika mendaki Bukit Tabur pada Ahad lalu ditemui selamat hari ini.
Pengarah Bomba Selangor, Datuk Norazam Khamis berkata, mangsa, S. Sangeta, 26, ditemui pukul 11.08 pagi selepas dua hari dilaporkan hilang.
Katanya, anggota mencari dan menyelamat (SAR) menemui mangsa di dalam kawasan gaung pada kedalaman 30 meter selepas terjatuh dari puncak bukit.
“Operasi SAR yang dimulakan sejak awal pagi semalam sebelum dihentikan pukul 7 malam akibat faktor cuaca dan disambung semula pada pukul 7.30 pagi tadi.
“Mangsa ditemui selamat dan berada dalam keadaan sedar namun mengalami kecederaan pada kaki akibat terjatuh dari puncak bukit ke dalam gaung.
“Anggota penyelamat kini dalam usaha membawa naik mangsa ke tempat selamat untuk diberikan rawatan awal seterusnya dibawa keluar dari lokasi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Norazam, operasi SAR terbahagi kepada dua trek laluan pendakian yang mana Trek A diketuai seorang pegawai bomba bersama 13 anggota Pasukan Khas Taktikal Operasi Penyelamat Malaysia (STORM).
“Manakala Treb B diketuai pegawai bomba dengan seramai 55 anggota termasuk Pasukan Multi Skill (MUST) bomba, polis, Angkatan Pertahanan Awam, Jabatan Hutan dan Pasukan Mencari dan Menyelamat Gunung dan Gua (MOSAR).
“Ia turut dibantu dua anjing pengesan dari Unit K9 JBPM bersama empat pegawai serta Unit Dron” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan pendaki agar melaporkan aktiviti pendakian kepada pihak berkuasa bagi mengelak insiden sama berulang.
“Penggemar aktiviti riadah ini juga tidak digalakkan masuk ke kawasan hutan secara berseorangan,” ujarnya.
Sebelum ini, media melaporkan seorang wanita dilaporkan sesat ketika mendaki bersendirian di Bukit Tabur pada Ahad lalu.
Pihak bomba menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 2.44 pagi semalam sebelum pasukan bomba dari Ampang tiba di lokasi pada pukul 3.18 pagi.
Mangsa dilaporkan mendaki ke Bukit Tabur dari Tabur East kira-kira pukul 7 pagi sebelum menghubungi adiknya memaklumkan telah tersesat di kawasan terbabit. – MalaysiaGazette