KUALA LUMPUR – Datuk Paduka Dr. Ibrahim Ali membuat laporan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini berhubung laporan sebuah media yang mendakwa berlaku penyelewengan dan ketirisan dalam pengurusan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Holdings.
Katanya, laporan berdasarkan keterangan sumber yang dijumpai atau dihubungi itu bagi mendapatkan maklum balas berkaitan kos sara hidup pelajar IPT di bandar yang semakin tinggi seterusnya membawa kepada pendedahan meragukan.
Ibrahim merupakan Alumni UiTM berkata, tidak ada niat untuk membuat tuduhan melulu namun dakwaan yang didedahkan itu amat serius dan tidak menyenangkannya serta seluruh alumni dan warga universiti itu.
“Justeru, saya memohon serta menggesa SPRM segera melakukan siasatan yang telus dan bawa ke muka pengadilan sekiranya terdapat unsur penyelewengan atau salah guna kuasa melibatkan dana kepentingan awam khususnya untuk kebajikan pelajar.
“Kerjasama dan komitmen SPRM secara menyeluruh amat saya harapkan bagi membanteras penyelewengan, penyalahgunaan kuasa mahupun rasuah yang akhirnya akan merugikan rakyat dan negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sabtu lalu, Utusan Malaysia melaporkan, pengurusan IPT terutama UiTM yang lemah dalam menguruskan aspek kewangan didakwa menjadi punca kebajikan pelajar terus terabai.
Mendedahkan perkara itu, sumber dalaman UiTM dilaporkan berkata, banyak silap langkah dikesan sejak 10 tahun kebelakangan ini dalam menjana pendapatan terutama membabitkan bentuk pelaburan melalui badan pelaburan, UiTM Holdings yang dilaksanakan tanpa menekankan aspek integriti.
Dr. Ibrahim yang juga Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) menegaskan, beliau membuat laporan itu demi menjaga nama baik UiTM yang telah melahirkan ratusan ribu pelajar cemerlang. – MalaysiaGazette