Pembatalan rancangan pembinaan landasan kereta api berkelajuan tinggi (HSR) yang menghubungkan Kuala Lumpur dengan Singapura oleh kerajaan Pakatan Harapan telah mencetuskan perdebatan hangat.
Gambar Hiasan

KUALA LUMPUR – Kerajaan digesa menyiasat skandal berkaitan pembatalan projek kereta api berkelajuan tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura yang dibatalkan oleh kerajaan Perikatan Nasional (PN) pada akhir 2020.

Pentadbir laman Facebook Najib Razak berkata, pembatalan tersebut telah menyebabkan kerajaan Malaysia terpaksa membayar pampasan RM320 juta kepada Singapura.

Menurut beliau, antara sebab kerajaan ketika itu membatalkan projek tersebut ialah mereka tidak mahu terikat dengan perjanjian dengan Singapura di mana semua perolehan bagi projek tersebut perlu melalui tender antarabangsa terbuka.

“Mengikut maklumat yang disalurkan kepada kami ketika itu, kertas bagi pembatalan projek HSR Kuala Lumpur-Singapura untuk digantikan dengan projek HSR Kuala Lumpur-Johor Bahru telah dibentang dalam Kabinet.

“Angka-angka berkenaan perbandingan unjuran jumlah penumpang, unjuran jumlah hasil pendapatan tambang HSR dan kos projek HSR Kuala Lumpur-Singapura dengan KL-Johor Baharu turut dibincang,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.

Pentadbir laman Facebook Najib Razak memberitahu, unjuran jumlah penumpang setahun dikatakan akan turun 10.4 juta orang (28 peratus) dari 37.3 juta ke 26.9 juta penumpang manakala hasil pendapatan tambang akan menurun RM352 bilion dari RM929 bilion ke RM577 bilion sekiranya HSR Kuala Lumpur-Singapura diganti dengan HSR Kuala Lumpur-Johor Bahru.

Sebaliknya, kata beliau, penjimatan kos projek HSR Kuala Lumpur-Johor Bahru cuma RM3.6 bilion ataupun 5.3 peratus lebih murah berbanding projek HSR Kuala Lumpur-Singapura iaitu dari RM68.2 bilion (Kuala Lumpur-Singapura) ke RM64.6 bilion (Kuala Lumpur-Johor Bahru).

“Sebanyak RM3.3 bilion juga akan dibayar kepada syarikat ERL untuk menaik taraf sistem ERL KLIA-KL Sentral sedia ada manakala pampasan antara RM5.7 bilion hingga RM7.7 bilion telah diperuntukkan sebagai bayaran pampasan kepada syarikat ERL bagi tempoh projek sebab projek dijangka akan rugi besar berpunca dari penurunan mendadak unjuran penumpang dan pendapatan projek,” jelasnya.

Pentadbir laman Facebook Najib Razak menambah, akibat pembatalan projek tersebut, Malaysia bukan sahaja membayar kos pampasan RM320 juta kepada Singapura tanpa sebab tetapi telah tertinggal dalam ASEAN manakala manfaat ekonomi jangka panjang sebanyak RM500 bilion akibat kehilangan peluang pelaburan dan pelancongan lebih rancak bagi Malaysia telah terlepas. – MalaysiaGazette