Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Tiada rakyat Malaysia dilaporkan terjejas akibat gempa bumi berukuran 5.9 magnitud yang melanda barat laut Iran berhampiran bandar Khoy (780 kilometer di utara Tehran) pada Sabtu.

Kementerian Luar Negeri (Wisma Putra) dalam satu kenyataan hari ini berkata, Kedutaan Besar Malaysia di Tehran sedang memantau dengan teliti perkembangan susulan gempa bumi yang dilaporkan mengorbankan sekurang-kurangnya tiga orang dan mencederakan lebih 800 orang.

Malaysia merakamkan rasa simpati dan takziah kepada mangsa dan keluarga yang terjejas akibat gempa bumi, serta kepada kerajaan dan rakyat Iran,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Kementerian itu menasihatkan rakyat Malaysia di Iran untuk terus berwaspada dan mengikuti perkembangan terkini dan nasihat yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan.

Rakyat Malaysia di Iran juga digesa mendaftar dengan kedutaan melalui telefon (+9821) 8807 2444 atau (+9821) 8807 8606 atau e-mel [email protected].

Sekurang-kurangnya tiga orang terbunuh dan lebih 800 lagi cedera dalam gempa bumi berukuran 5.9 magnitud itu.

Pusat gempa berada di bandar Choi di wilayah Azerbaijan Barat.

Media tempatan melaporkan, banyak bangunan rosak di Choi dan di berpuluh-puluh kawasan lain di wilayah sempadan dengan Turki.

Pihak berkuasa tempatan berkata, kawasan itu digegarkan oleh 12 gegaran susulan pada waktu malam. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast