Jenin
Datuk Seri Anwar Ibrahim.- Foto HAZROL ZAINAL, 06 DISEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya kempen penindasan yang berterusan dan ganas terhadap tahanan Palestin di dalam beberapa penjara Israel serta hukuman kolektif dan tindak balas terutamanya terhadap tahanan dari Jenin di Tebing Barat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia menyeru semua pemimpin dunia berfikiran wajar dan rakyat yang merdeka agar mengecam pembunuhan rakyat Palestin yang dilakukan oleh pihak berkuasa Israel.

Menurut beliau, Malaysia juga menyeru masyarakat antarabangsa untuk mendesak rejim Israel dipertanggungjawabkan atas jenayah tersebut dan menuntut mereka menghentikan kekejaman dan kebiadaban dengan segera.

“Malaysia merakamkan simpati, takziah dan doa kepada keluarga puluhan rakyat Palestin yang terkorban dan cedera akibat pencerobohan yang dilakukan oleh tentera Israel semasa serbuan di kem pelarian Jenin, baru-baru ini.

“Malaysia terus berdiri dalam solidariti dengan rakyat Palestin dan mengesahkan sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada rakyat Palestin dan matlamat mereka untuk bebas daripada penjajahan haram Israel dan merealisasikan aspirasi mereka untuk sebuah negara Palestin yang merdeka dan berdaulat berdasarkan sempadan sebelum 1967, dengan Baitulmuqaddis Timur sebagai ibu negara mereka,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Media antarabangsa melaporkan sekurang-kurangnya lapan orang terbunuh manakala 10 mangsa lagi cedera dalam insiden tembakan di sebuah penempatan di Baitulmuqaddis Timur pada malam Jumaat lalu. – MalaysiaGazette