SERDANG – Seorang bekas pemandu e-hailing ditahan polis dalam serbuan ke atas sebuah makmal haram dengan rampasan 123 kilogram dadah bernilai kira-kira RM6.38 juta di Seri Kembangan, Jumaat lalu.
Ketua Polis Daerah Serdang Asisten Komisioner A. A. Anbalagan berkata, serbuan tersebut dibuat di sebuah premis kawasan kilang perindustrian kecil dan sederhana (PKS) yang dijadikan tempat memproses dadah.
Menurutnya, serbuan itu dibuat oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Serdang, pada jam 7 malam.
Suspek berusia 44 tahun itu dipercayai aktif dalam kegiatan memproses dadah sejak setahun lalu.
Antara jenis dadah yang dirampas adalah MDMA atau lebih dikenali sebagai ekstasi (47 paket plastik dan 16 bekas lutsinar); sepaket plastik syabu (504 gram); 18 botol plastik berisi serbuk; 21 biji pil ekstasi dan sepaket plastik ganja (13.8 gram).
”Dadah yang dirampas ini dapat menampung untuk penggunaan bagi 410,000 orang,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Jelas beliau, lelaki yang berasal dari Subang itu dipercayai aktif dalam mengedar dan memproses dadah sejak setahun lalu dan dadah yang diprosesnya untuk dijual di sekitar Lembah Klang.
Anbalagan berkata, lelaki itu dipercayai belajar memproses dadah melalui Youtube.
“Kita juga percaya dia tidak bergiat sendiri dan kami sedang disiasat perkara itu,” katanya lagi.
Anbalagan berkata, polis turut merampas dua buah kenderaan bernilai RM17,000 yang digunakan untuk mengedar dan mengambil bekalan dadah di sekitar Lembah Klang, juga wang tunai sebanyak RM10,000.
“Dia ada guna satu van yang ada tertera nama syarikat, kami percaya ia untuk mengaburi mata pihak berkuasa ketika bergerak mengedar dadah.
“Kita juga merampas peralatan memproses dadah,”ujarnya.
Hasil kegiatannya, lelaki itu disyaki meraih pendapatan RM15,000 setiap bulan.
ini memiliki satu kes kesalahan lampau mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Anbalagan berkata, lelaki berkenaan kini ditahan direman selama tujuh hari sehingga 3 Febuari di bawah Seksyen 39 B Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Jika disabit kesalahan lelaki tersebut boleh dihukum gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang 15 kali,” kata beliau lagi. -MalaysiaGazette