Adenan menunjukkan sebuah motosikal yang diubah tanpa brek yang dipercayai digemari dalam kalangan pelumba haram serta mat rempit bagi mendapatkan kelajuan maksima ketika beraksi.

GEORGE TOWN – Sekurang-kurang RM5,000 hingga RM6,000 dibelanjakan setiap pemilik motosikal untuk mengubah suai kenderaan mereka bagi kegiatan lumba haram.

Selain itu, pemilik bengkel juga antara dikesan mengubah suai motosikal miliknya semata-mata untuk digunakan joki bagi kegiatan sama.

Itu antara yang dikenal pasti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang menerusi Ops Bengkel yang dilaksanakan ke atas bengkel motosikal bagi mengekang kegiatan lumba haram di negeri ini.

Adenan.

Pengarah JPJ negeri, Adenan Md Isa berkata, berdasarkan pemeriksaan ke atas bengkel di Jalan Gudwara, di sini, pihaknya mendapati 24 motosikal telah diubah suai dipercayai bagi aktiviti merempit serta lumba haram.

Jelas beliau, daripada jumlah itu, sebanyak 14 motosikal didapati didaftarkan atas nama pemilik bengkel berkenaan namun dia menafikan penglibatannya dalam lumba haram.

“Lelaki itu memberi alasan motosikal itu diubah suai suka-suka untuk dipamerkan di bengkelnya manakala motosikal pelanggan pula didakwa dihantar untuk dibaiki memandangkan rata-rata pelanggannya menggunakan motosikal terbabit untuk ke tempat kerja.

Kira-kira 24 motosikal didapati diubah suai secara extreme di bengkel motosikal di Jalan Gudwara di sini.

“Itu alasan yang biasa kita dengar daripada pemilik bengkel bagi mengaburi mata pihak berkuasa mengenai aktiviti pengubahsuaian yang dilakukan mereka bagi kegiatan lumba haram.

“Tapi kalau dilihat setiap motosikal yang diubah suai itu memang selalunya dibuat oleh mat rempit agar mampu menunjukkan aksi atau lagak di atas jalan raya,” katanya kepada pemberita di lokasi serbuan, di sini, hari ini.

Bengkel motosikal tersebut antara 12 bengkel yang diperiksa JPJ dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) serta Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) di daerah Timur Laut dan Barat Daya.

Bagaimanapun, sebanyak tujuh daripada bengkel diserbu didapati tidak beroperasi manakala lima lagi premis didapati menjalankan kegiatan ubah suai.

Menurut Adenan, antara pengubahsuaian yang dilakukan termasuk menukarkan tayar sotong, ekzos, swing arm, fork serta alat pengawal kelajuan (komponen CDI).

Ekzos turut diubah suai.

“Kita juga kesan beberapa motosikal yang diubah suai tanpa brek kaki sekali gus kita tidak menolak kemungkinan besar ia bagi kegiatan lumba.

“Secara keseluruhan, kita mengeluarkan sebanyak 66 notis dalam operasi tersebut dan setiap satunya mempunyai kesalahan lebih daripada tiga.

“Kita beri peluang kepada pemilik motosikal mengubah suai semula motosikal mereka ke bentuk asal dalam tempoh 10 hari jika masih gagal motosikal tersebut akan disita,” jelas beliau.

Tambah Adenan, pihaknya akan melakukan pemeriksaan berterusan ke atas bengkel-bengkel dikenal pasti melakukan pengubahsuaian ke atas motosikal bagi mengekang aktiviti rempit dan lumba haram. – MalaysiaGazette