Mohd Khairuddin Aman Razali masjid terengganu kematian jamaah Islam Khairuddin Aman Razali MN Nurul Izzah adu domba penasihat kerajaan
Mohd Khairuddin Aman Razali

KUALA LUMPUR – Pengalaman dan kelulusan akademik yang dimilik oleh Nurul Izzah Anwar melayakkan beliau untuk dilantik sebagai Penasihat Kanan Ekonomi dan Kewangan kepada Perdana Menteri.

Bekas Setiausaha Majlis Syura Ulama Pas, Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali berkata, selain memiliki kelulusan Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik dan Sarjana Hubungan Antarabangsa, Nurul Izzah pernah menjadi Ahli Parlimen selama tiga penggal sejak 2008 serta ahli Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC).

Menurut beliau, rakyat boleh menilai merit dan kelayakan yang dimiliki Nurul Izzah untuk memegang apa-apa jawatan di peringkat kerajaan menerusi prestasi beliau di Parlimen dan latar belakang akademik yang dimilikinya.

“Justeru, saya tidak melihat sebarang kewajaran bagi menidakkan hak beliau untuk dilantik sebagai Penasihat Kanan Ekonomi dan Kewangan kepada Perdana Menteri.

“Apatah lagi apabila jawatan tersebut disandang tanpa gaji. Ia menidakkan konflik kepentingan kebendaan yang mahu dilimpahkan kepada Nurul Izzah sebagai anak Perdana Menteri,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.

Pelantikan Nurul Izzah untuk jawatan tersebut baru-baru ini telah mengundang kritikan daripada pelbagai pihak khususnya daripada pembangkang yang mengecamnya sebagai amalan nepotisme.

Walau bagaimanapun, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tetap mempertahankan pelantikan Nurul Izzah dengan menyatakan bahawa anaknya itu mempunyai kelayakan untuk menyandang jawatan tersebut.

Mohd. Khairuddin yang juga bekas Ahli Parlimen Kuala Nerus berpandangan, isu nepotisme hanya timbul sekiranya mereka yang ada hubungan kekeluargaan dilantik walaupun tiada merit dan kelayakan.

Beliau turut memberi contoh beberapa sahabat Nabi Muhammad SAW yang juga ahli keluarga baginda seperti Saidina Abu Bakar as-Siddiq r.a., Saidina Ali bin Abi Talib k.w.h. dan Usamah bin Zaid r.a. yang diberi peranan penting dalam memimpin ummah semasa solat dan peperangan.

Mohd. Khairuddin memberitahu, kepercayaan yang diberikan kepada mereka itu adalah berdasarkan ilmu, kewarakan, keimanan, kelayakan dan kesetiaan dalam mempertahankan Rasulullah SAW dan bukannya kerana hubungan kekeluargaan.

“Sebarang pelantikan jawatan yang berasas merit dan kelayakan meskipun dalam kalangan yang ada hubungan keluarga bukanlah nepotisme yang salah dari sudut moral,” jelasnya. – MalaysiaGazette