KUALA LUMPUR – Belanjawan 2023 yang akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada 24 Februari ini akan mencerminkan pertanggungjawaban Kerajaan Perpaduan yang mengutamakan pertumbuhan, pengagihan saksama dan keadilan
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Belanjawan 2023 selaras dengan konsep pembangunan Malaysia Madani supaya kemajuan ekonomi memanfaatkan segenap lapisan masyarakat.
“Kerajaan akan mengekalkan dasar fiskal mengembang untuk menyokong pertumbuhan ekonomi.
“Kerajaan juga komited untuk melaksanakan langkah mengurangkan defisit secara berperingkat serta memastikan nisbah hutang dan liabiliti Kerajaan berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar terkawal,” katanya dalam kenyataan.
Belanjawan tersebut akan merangkumi langkah-langkah menggalakkan pelaburan sektor swasta dan reformasi sektor awam.
Ia bertujuan untuk mengurangkan birokrasi, meningkatkan
kemudahan menjalankan perniagaan serta menambah baik tatakeloka Kerajaan.
Anwar hari ini mempengerusikan sidang pertama Jawatankuasa Dasar Fiskal (FDC) yang turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof.
Turut hadir Menteri Ekonomi Mohd Rafizi Ramli, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali, Ketua Setiausaha Kementerian Ekonomi Datuk Nor Azmie Diron, Gabenor Bank Negara Malaysia Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus.
Jawatankuasa Dasar Fiskal bertujuan meneliti fiskal Kerajaan dan perkembangan ekonomi negara dalam jangka masa sederhana.
Tambah Anwar, Belanjawan 2023 akan dilaksanakan walaupun
Kerajaan mewarisi beban hutang yang tinggi dan ekonomi berhadapan ketidaktentuan prospek ekonomi global.
Pada tahun 2022 hutang dan liabiliti Kerajaan hampir menjangkau RM1.5 trilion.
Jumlah itu lebih 80 peratus daripada KDNK dengan nisbah khidmat hutang dijangka melebihi 15 peratus daripada hasil.
Pertumbuhan global juga dijangka menyederhana pada tahun 2023.
Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) memberi amaran bahawa prospek ekonomi dunia bakal merosot dengan kebanyakan negara dijangka mengalami kemelesetan ekonomi. – MalaysiaGazette