Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) 'mengangkut' 11 motosikal yang diparkir di laluan pejalan kaki di Kampung Baru di sini hari ini.- Gambr FB DBKL

KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) ‘mengangkut’ 11 motosikal yang diparkir di laluan pejalan kaki di Kampung Baru di sini hari ini.

Operasi penguatkuasaan itu dibuat tengahari tadi di sekitar laluan pejalan kaki sekitar Jalan Hassan Salleh, Stesen LRT Kampung Baru.

Menerusi perkongsian beberapa halaman media sosial yang tular semalam terdapat beberapa buah motosikal yang diletakkan di laluan berbumbung pejalan kaki yang mengakibatkan kesukaran orang awam, pelancong serta orang kelainan upaya (OKU) untuk menggunakan laluan pejalan kaki tersebut.

“Berdasarkan perkara tersebut, sepasukan pegawai dan penguat kuasa DBKL telah hadir meninjau lokasi berkenaan lewat petang semalam dan telah merancang bagi mengadakan tindakan penguatkuasaan menyita, mengalihkan motosikal yang diletakkan di sepanjang laluan pejalan kaki,” kata DBKL dalam hantaran di media sosialnya hari ini.

Sejumlah 11 buah motosikal telah dialihkan ke Depoh Simpanan Tunda Kenderaan DBKL Jalan Pahang untuk tindakan lanjut termasuk pengeluaran notis kompaun dan penyimpanan sementara.

Tindakan diambil menerusi kesalahan dibawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) dan Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959.

Mengikut statistik bagi Januari – Februari 2023, sejumlah 38 buah motosikal telah dibuat tindakan angkut di sekitar kawasan tumpuan (hotspot) pusat bandar melibatkan halangan tempat awam dan laluan OKU.

Pengguna jalan raya terutamanya penunggang motosikal diingatkan agar mematuhi peraturan yang telah ditetapkan pihak berkuasa dan memastikan kenderaan (motosikal /kereta) diletakkan ditempat sepatutnya tanpa menghalang dan menggangu pejalan kaki atau kelancaran lalulintas.- MalaysiaGazette